Anwar gesa flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza diberi laluan selamat

Anwar ketika menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam yang diadakan di ibu negara Qatar hari ini. - Foto: Bernama
Anwar ketika menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam yang diadakan di ibu negara Qatar hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

DOHA - [DIKEMAS KINI]  Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar kumpulan flotila yang membawa bantuan kemanusiaan dalam pelayaran ke Gaza diberi laluan selamat serta tidak dihalang atau diserang.

Ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di sini, hari ini, Anwar menegaskan bahawa flotila itu bukan membawa senjata, sebaliknya membawa harapan bantuan kepada penduduk Gaza yang sedang dikepung.

"Ini ialah misi kemanusiaan dan kita mesti melakukan segala yang termampu bagi memastikan ia sampai ke destinasi.

"Jika ia dihalang dengan keganasan, ia bermakna kita mengkhianati amanah nurani kita untuk mempertahankan golongan lemah, melindungi yang tertindas serta memberi makanan kepada yang kelaparan,” katanya.

Konvoi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) kini sedang merentasi Laut Mediterranean, membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan menuju ke pesisir Gaza.

Misi berkenaan melibatkan lebih 50 kapal dengan penyertaan sukarelawan dari 44 negara, bertujuan menghantar bantuan kemanusiaan berupa makanan dan ubat-ubatan ke wilayah yang dikepung itu.

Anwar merupakan penaung Sumud Nusantara, salah satu kumpulan yang menyertai misi berkenaan dan menghimpunkan kapal serta sukarelawan dari seluruh dunia.

Malaysia turut diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, penyanyi Zizi Kirana dan pelakon Ardell Aryana.

Pada 10 September lepas, kapal induk Family diserang dron ketika berlabuh di Sidi Bou Said, Tunisia, disusuli serangan terhadap kapal Alma pada malam Selasa.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kedua-dua insiden itu.

Sabtu lepas, koresponden Anadolu melaporkan konvoi awal kapal GSF berlepas dari Pelabuhan Bizerte di Tunisia menuju ke Semenanjung Gaza. - Bernama

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza diberi laluan selamat
  • Flotila tersebut tidak membawa senjata tetapi bantuan untuk penduduk Gaza
  • Anwar menyampaikan Kenyataan Negara pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha
  • Menegaskan misi ini sebagai usaha kemanusiaan untuk membantu yang tertindas
  • Menghalangi flotila dengan keganasan dianggap pengkhianatan terhadap amanah nurani mempertahankan golongan lemah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!