Cubaan seludup 33.5 tan beras putih Thailand gagal

PGA berjaya mematahkan cubaan menyeludup 33.5 tan beras putih Thailand bernilai hampir RM400,000 untuk dipasarkan secara haram di negara ini. Foto Briged Utara PGA
PGA berjaya mematahkan cubaan menyeludup 33.5 tan beras putih Thailand bernilai hampir RM400,000 untuk dipasarkan secara haram di negara ini. Foto Briged Utara PGA
A
A
A

GERIK – Cubaan menyeludup 33.5 tan beras putih Thailand bernilai hampir RM400,000 untuk dipasarkan secara haram di negara ini berjaya digagalkan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam satu operasi khas di sini pada Ahad.

Dalam serbuan Op Taring Bravo 4 kira-kira jam 3.15 petang, sebuah treler sarat dengan 670 guni beras berjaya dipintas di Kilometer 45 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran Kem Sri Banding.

Treler itu dipercayai dalam perjalanan ke sebuah gudang beras di negeri ini.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, kejayaan tersebut hasil risikan Cawangan Risik Batalion 18 PGA dengan kerjasama Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Perak serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik.

Sebuah treler sarat dengan 670 guni beras berjaya dipintas di Kilometer 45 JRTB berhampiran Kem Sri Banding dekat Gerik pada Ahad. Foto Briged Utara PGA
Sebuah treler sarat dengan 670 guni beras berjaya dipintas di Kilometer 45 JRTB berhampiran Kem Sri Banding dekat Gerik pada Ahad. Foto Briged Utara PGA

“Pasukan operasi mengesan kegiatan penyeludupan itu sejak tiga bulan lalu.

“Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan menemui 670 guni beras putih Thailand dengan setiap guni seberat 50 kilogram, menjadikan jumlah keseluruhan 33.5 tan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, pemandu treler iaitu lelaki tempatan berusia 44 tahun ditahan bagi membantu siasatan, manakala muatan beras dirampas untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994 (Akta 522) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Rampasan ini membuktikan kesungguhan pihak berkuasa membanteras kegiatan penyeludupan yang semakin berleluasa.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan secara haram melalui aktiviti penyeludupan ini,” tegasnya.

Hasil pemeriksaan menemui 670 guni beras putih Thailand dengan setiap guni seberat 50 kilogram, menjadikan jumlah keseluruhan 33.5 tan. Foto Briged Utara PGA
Hasil pemeriksaan menemui 670 guni beras putih Thailand dengan setiap guni seberat 50 kilogram, menjadikan jumlah keseluruhan 33.5 tan. Foto Briged Utara PGA

Beliau menambah, Briged Utara PGA akan terus mempergiatkan rondaan serta pengawasan di sekitar Perak, Pulau Pinang dan Kedah bagi mengekang aktiviti jenayah lintas sempadan.

“Masyarakat dan pengguna juga diseru supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti penyeludupan,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!