UEC: Keperluan pendidikan atau tuntutan politik?

ISU desakan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bukanlah perkara baharu dalam landskap pendidikan negara.
Namun, ia kembali mencetuskan perdebatan hangat apabila dibangkitkan semula oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming baru-baru ini.
Timbul persoalan sama ada pengiktirafan UEC benar-benar satu keperluan atau sekadar memenuhi kehendak kelompok tertentu.
Malah Pakatan Harapan (PH) pernah menyenaraikan pengiktirafan UEC dalam janji manifesto mereka, namun selepas PH menjalin kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) membentuk Kerajaan Perpaduan, janji itu dilihat mula tenggelam tetapi timbul tiba-tiba selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu.
Menerusi laporan sebuah portal berita pada tahun 2020, DAP juga pernah 'mengugut' keluar kerajaan jika UEC tidak diiktiraf. Kenyataan itu jelas memperlihatkan betapa besarnya 'nilai UEC' kepada DAP.
Seperti mana dinyatakan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, kerajaan tidak menolak pengiktirafan UEC secara mutlak, namun ia mesti memenuhi syarat jelas termasuk penggunaan Bahasa Kebangsaan serta digubal selari dengan aspirasi nasional.
Menurut beliau, selagi UEC tidak menepati ciri tersebut, ia tidak wajar disetarakan dengan kelayakan nasional sedia ada.
Apa yang dikatakan oleh Menteri Luar itu sememangnya berasas kerana isu utama yang dipertikaikan adalah penggunaan bahasa dan silibus digunakan yang jelas berbeza dengan Dasar Pendidikan Negara.
Sememangnya setelah berpuluh tahun isu ini diperdebatkan, kerajaan masih belum ada keputusan muktamad mengenainya.
Namun ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung UEC yang disuarakan beliau baru-baru ini seakan meredakan sedikit panas yang sedang berlaku.
Meskipun beliau tidak menyatakan dengan jelas keputusan kerajaan mengenai perkara itu, namun kenyataan beliau yang dilaporkan berkata, sebarang tuntutan yang menyentuh sensitiviti agama, bangsa dan kaum perlu mengambil kira kedudukan Bahasa Kebangsaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan seakan memberi gambaran penolakan.
Kenyataan beliau itu bagaimanapun dilihat menimbulkan rasa kurang selesa DAP apabila Setiausaha Agungnya, Anthony Loke mendakwa laporan media yang membayangkan penolakan tersebut adalah tidak tepat.
Selain itu, pandangan disuarakan Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong yang menyatakan isu UEC berisiko mencetuskan ketegangan kaum jika tidak ditangani secara berhati-hati perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan.
Mana tidaknya, sebaik saja isu terbabit dibangkitkan semula, pelbagai pihak mula bersuara bukan saja dari kalangan parti pembangkang tapi juga kerajaan.
Turut tidak terkecuali warganet yang mula memukul gendang di laman media sosial masing-masing, meluahkan pandangan sehingga membuka ruang perdebatan antara kaum.
Kesimpulannya, isu pengiktirafan UEC bukan sekadar persoalan akademik sebaliknya mencerminkan pertembungan antara identiti nasional negara.
Tanpa keputusan tuntas daripada kerajaan, isu ini berisiko terus dieksploitasi sebagai modal politik, bukannya diselesaikan demi kepentingan pelajar dan masa depan negara.
Timbul juga persoalan, adakah sistem pendidikan sedia ada dianggap gagal oleh kelompok tertentu sehingga pengiktirafan UEC dilihat sebagai satu keperluan mendesak?
*Syamilah Zulkifli ialah wartawan Sinar Harian Negeri Sembilan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

