Langkawi kekal jadi pilihan, lebih 74,000 tiket feri terjual

KUALA KEDAH – Pulau Langkawi terus menjadi destinasi pilihan pelancong tempatan apabila lebih 74,000 tiket feri dua hala dari Kuala Kedah, Kuala Perlis dan Langkawi telah terjual menjelang cuti persekolahan yang bermula Jumaat ini.
Pengurus Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata, peningkatan permintaan itu mendorong pihaknya menambah 100 trip perjalanan feri sepanjang tempoh cuti persekolahan bermula 19 Disember hingga 11 Januari depan.
Menurutnya, secara keseluruhan, sebanyak 480 trip feri disediakan sepanjang tempoh berkenaan membabitkan perjalanan dari Kuala Kedah, Kuala Perlis dan Langkawi dengan kira-kira 120 trip bagi setiap laluan.
“Permintaan penumpang dijangka terus meningkat, khususnya menjelang sambutan Krismas pada 25 Disember, yang berkemungkinan menyebabkan kesesakan di terminal feri,” katanya pada sidang akhbar di Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah di sini pada Rabu.
Norhafiz berkata, bagi menampung peningkatan tersebut, perjalanan feri pada hari biasa yang sebelum ini melibatkan lima trip sehari akan ditambah dua trip tambahan bagi kedua-dua hala.
Menurutnya, perjalanan feri pada waktu malam juga akan ditambah bergantung kepada permintaan tiket semasa.
“Penjualan tiket feri secara dalam talian dan di kaunter masih dibuka kepada orang ramai, namun penumpang disaran membuat pembelian lebih awal bagi mengelakkan kehabisan tiket.
“Jumlah pembelian tiket dijangka terus meningkat dalam beberapa hari lagi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Norhafiz memberi jaminan bahawa aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan pihak pengendali, termasuk pematuhan sepenuhnya terhadap keperluan yang ditetapkan oleh Jabatan Laut Malaysia (JLM).
Jelasnya, bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang, pusat kawalan operasi akan mengurus aliran keluar masuk secara sistematik sepanjang tempoh puncak tersebut.
“Semua feri telah menjalani penyelenggaraan lebih awal dan dilengkapi jaket keselamatan serta lampu pandu arah. Sekiranya berlaku isu teknikal, feri gantian turut disediakan bagi memastikan operasi tidak terganggu,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menyarankan orang ramai membeli tiket secara dalam talian menerusi aplikasi Cuti-Cuti Langkawi, selain hadir lebih awal ke Terminal Feri Kuala Kedah, Kuala Perlis dan Langkawi bagi mengelakkan kesesakan.
Norhafiz turut tidak menolak kemungkinan Langkawi kekal menjadi antara destinasi pelancongan utama tempatan susulan situasi banjir besar yang melanda Hatyai, Thailand pada November lalu dan masih dalam proses pemulihan.
Ringkasan AI
- Pulau Langkawi menjadi destinasi pilihan pelancong tempatan dengan lebih 74,000 tiket feri terjual menjelang cuti persekolahan
- Peningkatan permintaan menyebabkan 100 trip feri tambahan sepanjang cuti persekolahan
- Secara keseluruhan, 480 trip feri disediakan melibatkan perjalanan dari Kuala Kedah, Kuala Perlis dan Langkawi
- Penjualan tiket feri masih dibuka dan penumpang disaran membuat pembelian lebih awal untuk mengelakkan kehabisan tiket
- Keselamatan penumpang menjadi keutamaan dengan penyelenggaraan feri dilakukan lebih awal dan jaket keselamatan serta lampu pandu arah disediakan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

