Diplomasi tujuh dekad, Australia-Malaysia kukuhkan hubungan dua hala rentas sektor

Danielle
Danielle
A
A
A

KUALA LUMPUR – Hubungan dua hala Australia-Malaysia terus diperkukuh merentas pelbagai sektor utama termasuk pendidikan, pertahanan, perdagangan dan pelaburan, serta kerjasama dalam teknologi dan inovasi.

Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke berkata, hubungan diplomatik, strategik dan masyarakat selama tujuh dekad antara kedua-dua negara berteraskan kepercayaan, sejarah dan kepentingan bersama serta komitmen terhadap kemakmuran serantau.

Beliau menegaska, kerjasama kedua-dua negara terus mendalam dalam sektor-sektor utama tersebut serta hubungan rakyat-ke-rakyat.

“Tahun ini menampilkan pelbagai inisiatif utama dan acara peringatan, termasuk lawatan peringkat tinggi (termasuk Perdana Menteri Australia), misi perniagaan dan pelaburan, perjanjian kerjasama serta aktiviti diplomasi awam.

“Selain itu, sebagai Rakan Dialog pertama ASEAN dan Rakan Strategik Komprehensif, Australia berbangga menyokong keutamaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Danielle (kanan) ketika ditemui di Suruhanjaya Tinggi Australia pada Jumaat.
Danielle (kanan) ketika ditemui di Suruhanjaya Tinggi Australia pada Jumaat.

“Australia berbesar hati menjadi rakan jangka panjang Malaysia dan rantau ini. Tahun 2025 bukan sahaja menunjukkan hubungan berterusan antara kedua-dua negara, tetapi mencerminkan komitmen bersama dalam membentuk bab seterusnya bagi kerjasama ini,” katanya ketika ditemui di Suruhanjaya Tinggi Australia pada Jumaat.

Ujarnya, menjelang penghujung tahun, Australia menantikan kerjasama rapat dengan Malaysia pada 2026 untuk memupuk kestabilan dan mempromosikan kemakmuran bersama di rantau ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa pencapaian diplomatik berkenaan turut memberi impak positif kepada sektor pelancongan dengan 207,000 pelancong Malaysia mengunjungi Australia sehingga Oktober 2025, manakala jumlah penerbangan meningkat kepada 125 penerbangan seminggu.

"Ia termasuk pelancaran KL-Darwin oleh AirAsia dan perkongsian kod baru Malaysia Airlines-Qantas bagi memudahkan perjalanan," katanya.

Beliau berkata, kerjasama dua negara juga merangkumi teknologi, termasuk lawatan Duta Siber Australia ke Malaysia pada Julai lalu untuk memperkukuh kerjasama menangani risiko keselamatan siber seperti serangan AI dan ransomware.

"Akademik Australia dan Malaysia (University of Melbourne dan Universiti Islam Malaysia) bekerjasama dengan NACSA melatih kira-kira 200 pegawai kanan dan 170 pemimpin dalam kepimpinan strategik serta amalan terbaik bagi memperkuat daya tahan siber organisasi," katanya.

Komisen pertama Australia ditubuhkan di Kuala Lumpur pada 1955. TK (Tom) Critchley dilantik sebagai Pesuruhjaya pertama Australia di Malaya pada 7 Disember 1955.

Malaya menubuhkan Komisen pertamanya di Canberra pada 20 November 1956, manakala Komisen di Kuala Lumpur dan Canberra menjadi Pesuruhjaya Tinggi apabila Persekutuan Malaya mencapai kemerdekaan secara rasmi pada 31 Ogos 1957.

Australia merupakan antara negara pertama yang menjalin hubungan diplomatik dengan Malaysia.

 

 

Ringkasan AI

  • Hubungan dua hala Australia-Malaysia terus diperkukuh merentas sektor pendidikan, pertahanan, perdagangan, pelaburan, teknologi dan inovasi
  • Hubungan diplomatik, strategik dan masyarakat antara kedua negara berlandaskan kepercayaan, sejarah dan kepentingan bersama selama tujuh dekad
  • Tahun ini menampilkan inisiatif utama seperti lawatan peringkat tinggi, misi perniagaan dan pelaburan, serta aktiviti diplomasi
  • Australia sebagai Rakan Dialog pertama ASEAN dan Rakan Strategik Komprehensif menyokong Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025
  • Kerjasama di sektor pelancongan dan teknologi termasuk peningkatan penerbangan serta kerjasama menangani risiko keselamatan siber

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!