Dadah catat nilai rampasan tertinggi JKDM, RM478.5 juta

PUTRAJAYA – Dadah merekodkan nilai rampasan tertinggi dalam tindakan penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi tempoh 1 Januari hingga 30 November 2025 dengan jumlah rampasan bernilai RM478.5 juta.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, secara keseluruhan nilai rampasan dan cukai hasil penguatkuasaan JKDM bagi tempoh berkenaan mencecah RM1.800 bilion, meningkat sebanyak 17.52 peratus atau RM268.46 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Pencapaian itu mencerminkan tahap ancaman serius aktiviti penyeludupan, khususnya melibatkan dadah yang terus memberi kesan terhadap keselamatan serta ekonomi negara.
“Sehingga 30 November 2025, JKDM telah melaksanakan 122 operasi penguatkuasaan melibatkan 6,597 perolehan kes di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, peningkatan nilai rampasan itu turut menunjukkan keberkesanan peralihan strategi penguatkuasaan JKDM daripada pendekatan berasaskan bilangan kes kepada pendekatan berasaskan nilai atau outcome.
“Selain dadah, komoditi lain yang turut mencatat nilai rampasan tinggi ialah kenderaan, dengan jumlah bernilai RM118.37 juta.
“Ia diikuti rokok sebanyak RM96.3 juta, minuman keras dan bir bernilai RM33.53 juta, serta mercun dan bunga api berjumlah RM11.24 juta,” katanya.
Anis Rizana menegaskan, JKDM akan terus memperkukuh tindakan penguatkuasaan dan tidak akan berkompromi dalam membanteras sebarang bentuk penyeludupan yang boleh menjejaskan kesejahteraan rakyat serta negara.
Dalam pada itu, orang awam diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan menerusi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau menghubungi pejabat kastam terdekat, dengan jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.
Ringkasan AI
- Dadah mencatat nilai rampasan tertinggi oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia dari Januari hingga November 2025 berjumlah RM478.5 juta
- Nilai rampasan dan cukai hasil penguatkuasaan JKDM untuk tempoh tersebut ialah RM1.800 bilion, meningkat 17.52 peratus dari tahun sebelumnya
- Ancaman serius dari aktiviti penyeludupan, terutama dadah, memberi kesan kepada keselamatan dan ekonomi negara
- JKDM melaksanakan 122 operasi penguatkuasaan dengan 6,597 kes di seluruh negara hingga 30 November 2025
- Kenderaan, rokok, minuman keras dan bir, serta mercun dan bunga api juga mencatat nilai rampasan tinggi selepas dadah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

