Bilik multisensori bawa senyuman murid PPKI SK Sungai Rokam

Persekitaran multisensori mampu membantu murid pendidikan khas meningkatkan kemahiran komunikasi, kognitif dan sosial.
Persekitaran multisensori mampu membantu murid pendidikan khas meningkatkan kemahiran komunikasi, kognitif dan sosial.
A
A
A

IPOH - "Wah cikgu, ini apa... boleh pegang?"

Itu antara reaksi spontan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sebaik melangkah masuk ke Bilik Multisensori yang baharu dirasmikan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rokam di sini pada Rabu.

Wajah teruja, senyuman dan sentuhan penuh ingin tahu jelas terpancar apabila mereka mula meneroka pelbagai peralatan terapi yang direka khusus untuk merangsang deria dan menenangkan emosi.

Keterujaan itu menjadi gambaran jelas betapa kemudahan berkenaan memberi pengalaman pembelajaran yang berbeza buat hampir 100 murid PPKI di sekolah tersebut, sekali gus membuka ruang kepada persekitaran pendidikan yang lebih menyeronokkan.

Pengarah Pendidikan Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar berkata, penyediaan bilik multisensori dapat membantu murid menyeimbangkan emosi, meningkatkan daya ketahanan diri serta merangsang kreativiti melalui kaedah pembelajaran berasaskan terapi sensori.

"Melalui ruang bilik multisensori ini, kita dapat menyediakan pendidikan yang lebih inklusif dan kondusif kepada murid-murid PPKI supaya mereka dapat mengurus emosi, meningkatkan fokus, respons serta potensi diri mereka,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian dan Serahan Bilik Multisensori PPKI SK Sungai Rokam.

Bilik Multisensori PPKI SK Sungai Rokam merupakan hasil kerjasama strategik antara pihak sekolah dengan sokongan utama Pertubuhan Wanita Prihatin Perak dan syarikat Gohub Capital Berhad.

Zulkafli berkata, SK Sungai Rokam merupakan antara tiga sekolah di daerah Kinta Utara yang terpilih sebagai projek rintis penubuhan bilik multisensori.

Katanya, dua lagi sekolah ialah Sekolah Coronation Park dan SK Sri Sentosa, melibatkan peruntukan keseluruhan kira-kira RM110,000.

Artikel Berkaitan:

"Ini merupakan satu rintis yang sangat baik dan kita dapat mempelbagaikan kaedah terapi untuk murid PPKI.

"Besar harapan saya agar program bilik multisensori ini dapat diperluaskan ke sekolah-sekolah lain pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Wanita Prihatin Perak, Norzita Rabaai berkata, penubuhan bilik multisensori berkenaan merupakan hasil usaha berterusan pihak pertubuhan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keperluan serta potensi kanak-kanak autisme dan murid pendidikan khas.

"Melalui program ini, kami mahu masyarakat memahami bahawa anak-anak autisme dan murid pendidikan khas juga mempunyai potensi untuk membangunkan diri sekiranya diberi ruang, sokongan dan kemudahan yang bersesuaian," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Gohub Capital Berhad, Kenny Tan berharap sumbangan yang disalurkan dapat membantu perkembangan pendidikan murid sekolah, khususnya dalam menyediakan kemudahan pembelajaran yang lebih inklusif dan berkualiti.

Beliau turut menyatakan hasrat syarikat itu untuk memperluaskan sumbangan pendidikan bukan sahaja di Perak, malah ke seluruh negara, dengan sasaran menyalurkan dana antara RM500,000 hingga RM1 juta pada tahun hadapan.

Ringkasan AI

  • Bilik Multisensori baharu untuk murid Program Pendidikan Khas Integrasi di SK Sungai Rokam dirasmikan
  • Murid PPKI teruja meneroka pelbagai peralatan terapi dalam Bilik Multisensori yang merangsang deria dan menenangkan emosi
  • Pendekatan terapi sensori dalam pembelajaran diharap dapat meningkatkan emosi, daya ketahanan diri dan kreativiti murid PPKI
  • Bilik Multisensori merupakan hasil kerjasama pihak sekolah dengan Pertubuhan Wanita Prihatin Perak dan Gohub Capital Berhad
  • Program ini bertujuan menyediakan pendidikan yang lebih inklusif dan meningkatkan kesedaran terhadap potensi anak-anak autisme dan murid pendidikan khas

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!