Kelantan bentang penggubalan semula 16 seksyen Enakmen Syariah tahun depan

KOTA BHARU – Pembentangan penggubalan semula 16 seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dijangka dapat dilaksanakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun hadapan.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, perkara tersebut kini berada pada tahap akhir penilaian selepas melalui beberapa siri perbincangan dan penelitian melibatkan jawatankuasa induk serta jawatankuasa pelaksana.
“Pada November lalu, jawatankuasa pelaksana telah bertemu dengan Jemaah Ulama MAIK (Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan) bagi berbincang jika terdapat perkara-perkara yang perlu diubah.
“Jadi, sehingga kini boleh dianggap telah berada di tahap akhir. Kita akan angkat sekali lagi ke jawatankuasa induk, pihak MAIK dan Exco sebelum dibentangkan di DUN,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Kota Darulnaim di sini, pada Rabu.
Menurut beliau, mengikut jangkaan, enakmen tersebut boleh dibentangkan pada akhir tahun 2025 namun pindaan bukanlah sesuatu yang mudah dan perlu dilakukan secara cermat.
Katanya, hal ini kerana ia melibatkan teguran yang perlu diperbetulkan dan diubah supaya berada dalam keadaan yang lancar.
Mohd Asri memberitahu, pindaan ke atas 16 seksyen itu dibuat dalam format terbaik bagi mengelakkan ia dicabar.
“Bukan semua 16 itu akan kekal 16, tetapi kita rangkumkan dengan ‘resipi’ yang lebih cermat dan efisien sekali gus menepati Perlembagaan Persekutuan.
“Perkara-perkara yang berpotensi dicabar turut diberikan perhatian. Jika ada yang mahu mencabar selepas ini, itu di luar bidang kuasa kita. Namun, Kelantan melakukan perubahan untuk memastikan undang-undang ini dapat dilaksanakan,” katanya.
Ringkasan AI
- Pembentangan penggubalan semula 16 seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan dijangka pada 2025
- Sedang dalam tahap akhir penilaian selepas perbincangan dengan MAIK
- Pindaan tersebut bertujuan untuk elak dicabar dan menepati Perlembagaan Persekutuan
- Jawatankuasa pelaksana telah bertemu dengan Jemaah Ulama MAIK untuk perbincangan
- Pindaan dibuat secara cermat dan efisien
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

