Netizen hairan laporan IIC gagal kenal pasti 'tangan misteri' palsukan dokumen

DAPATAN Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang tidak dapat mengenal pasti pihak terlibat memalsukan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya mencetuskan reaksi hairan dan sindiran dalam kalangan netizen yang mempersoalkan keberkesanan siasatan dijalankan.
Di media sosial, rata-rata pengguna menyuarakan ketidakpercayaan terhadap dapatan siasatan itu, dengan sebahagian berpendapat kes berkenaan seolah-olah 'sudah dijangka' akan berakhir tanpa pihak dipertanggungjawabkan.
Seorang pengguna, John El-Yahya, secara sinis menyatakan orang ramai sebenarnya sudah lama mengetahui apa yang berlaku, namun enggan bersuara kerana bimbang berdepan akibat tertentu.
Nada hampir sama disuarakan Mohd Sani Eisa yang mempersoalkan kewajaran siasatan apabila ejen kepada tujuh pemain warisan itu dilaporkan gagal dikesan, walaupun melibatkan kes berskala antarabangsa dan institusi besar.
Bagi Azizi Jaafar, kegagalan mengenal pasti dalang sebenar menjadikan isu berkenaan kelihatan seperti satu misteri yang sukar diterima logik, manakala Syed Abik secara berseloroh mempersoalkan bagaimana dokumen penting boleh dipalsukan tanpa sesiapa mengetahui pihak yang menghantarnya.
Seorang lagi pengguna, Saad Salleh pula mencadangkan supaya agensi penguatkuasaan luar seperti polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilibatkan bagi memastikan siasatan lebih telus dan menyeluruh.
Untuk rekod, laporan setebal 59 muka surat IIC menyatakan kegagalan mengenal pasti pihak terlibat berpunca daripada ketiadaan kerjasama Notari Awam serta ketidakupayaan mengesan ejen pemain, walaupun usaha munasabah telah dilakukan.
Namun begitu, IIC turut mengesahkan wujud kegagalan serius dalam aspek pengawasan, usaha wajar dan kawalan pentadbiran FAM, sekali gus mencetuskan persoalan awam mengenai tahap tadbir urus badan induk bola sepak negara itu.
Untuk rekod, ICC ditubuhkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi menyiasat punca kesilapan teknikal di peringkat pentadbiran yang menyebabkan badan induk itu dikenakan hukuman oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Isu ini turut mendapat perhatian Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang sebelum ini menyatakan pegawai FAM perlu bertanggungjawab sekiranya didapati berlaku salah laku berkaitan dakwaan pemalsuan dokumen pemain warisan.
Difahamkan, FAM telah menerima laporan siasatan IIC yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif jam 3.30 petang pada Selasa.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Eksekutif FAM akan mengadakan mesyuarat khas pada 22 Disember bagi membincangkan dapatan laporan siasatan tersebut secara terperinci sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.
IIC juga mengesyorkan agar Jawatankuasa Tatatertib FAM memulakan prosiding dalaman terhadap Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman untuk menentukan sama ada beliau gagal melaksanakan tahap pengawasan dan usaha wajar yang sepatutnya.
Jawatankuasa bebas itu turut mencadangkan FAM melaksanakan pembaharuan struktur dan prosedur yang menyeluruh untuk mengukuhkan pengawasan serta kawalan pentadbiran, sambil mengambil langkah pencegahan untuk mengelakkan kejadian yang sama berulang dan mengembalikan kredibiliti serta integriti operasi FAM.
Sebelum ini, FAM mengesahkan telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung hukuman yang dikenakan FIFA membabitkan isu dokumentasi tujuh pemain warisan, iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Keputusan untuk membawa kes itu ke CAS dibuat susulan FIFA mengeluarkan alasan penuh keputusan Jawatankuasa Rayuan setebal 64 muka surat pada 3 November yang mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA.
Keputusan tersebut menyaksikan FAM didenda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala tujuh pemain terbabit digantung selama 12 bulan dan masing-masing dikenakan denda CHF2,000 (kira-kira RM10,000) setiap seorang.
Ringkasan AI
- Jawatankuasa Siasatan Bebas gagal mengenal pasti dalang pemalsuan dokumen pemain Harimau Malaya
- Netizen menzahirkan rasa hairan dan sindiran terhadap hasil siasatan tersebut
- Kegagalan kerjasama dari Notari Awam dan ketidakupayaan mengesan ejen pemain dikenal pasti sebagai punca
- IIC mengesahkan kegagalan serius dalam pengawasan dan kawalan pentadbiran FAM
- FAM dibenarkan oleh FIFA dan didenda dengan keputusan ke atas kes dokumentasi pemain warisan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
