FAM nafi khabar angin semua Exco letak jawatan

FAM sahkan tiada sebarang peletakan jawatan secara beramai-ramai atau pembubaran barisan Exco seperti yang didakwa.
FAM sahkan tiada sebarang peletakan jawatan secara beramai-ramai atau pembubaran barisan Exco seperti yang didakwa.
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) badan induk itu telah diminta atau bertindak meletakkan jawatan.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, dakwaan berkenaan adalah tidak benar dan tidak berasas, sambil menegaskan tiada sebarang peletakan jawatan secara beramai-ramai atau pembubaran barisan Exco seperti yang didakwa.

Menurutnya, pelantikan dan pemilihan semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM dibuat melalui proses sah dan berperlembagaan, hasil pengundian di Kongres FAM selaras dengan Statut FAM serta garis panduan badan induk bola sepak antarabangsa.

“Struktur kepimpinan sedia ada terus menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan penuh komitmen bagi memastikan kelangsungan tadbir urus serta pembangunan bola sepak negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Penafian itu susulan khabar angin yang bertiup kencang selepas Mesyuarat Exco FAM di Kelana Jaya pada Isnin yang dipercayai membincangkan dapatan Jawatankuasa Bebas berhubung isu dokumentasi tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada September lalu.

Jawatankuasa Bebas berkenaan diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif dan ditubuhkan tanpa membabitkan mana-mana individu FAM bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus dan profesional.

Difahamkan, dapatan penuh siasatan itu telah diserahkan kepada FAM dan bakal dibentangkan dalam satu sidang media.

Isu ini turut mendapat perhatian Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang sebelum ini menyatakan pegawai FAM perlu bertanggungjawab sekiranya didapati berlaku salah laku berkaitan dakwaan pemalsuan dokumen pemain warisan.

Untuk rekod, Jawatankuasa Rayuan FIFA sebelum ini menolak rayuan FAM menerusi laporan setebal 64 muka surat, sekali gus mengekalkan hukuman denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM dan penggantungan 12 bulan ke atas tujuh pemain terbabit iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal serta Hector Hevel.

Artikel Berkaitan:

FAM turut mengesahkan isu berkenaan telah dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dan badan induk itu diberikan tempoh sehingga esok untuk mengemukakan dokumen berkaitan.

Ringkasan AI

  • FAM menafikan dakwaan peletakan jawatan semua Exco secara beramai-ramai
  • Pelantikan dan pemilihan Exco FAM dilakukan melalui proses sah dan berperlembagaan
  • Struktur kepimpinan FAM terus menjalankan tanggungjawab untuk pembangunan bola sepak negara
  • Jawatankuasa Bebas diketuai bekas Ketua Hakim Negara, menjalankan siasatan isu pemain tanpa melibatkan individu FAM

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!