AGC arah siasatan tiga lelaki ditembak mati di Melaka diklasifikasi kes bunuh

Jabatan Peguam Negara.
Jabatan Peguam Negara.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini mengarahkan siasatan kes tiga lelaki yang ditembak mati di Melaka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.

Menurut AGC, pihaknya telah dirujuk tentang laporan kes berkenaan dan berdasarkan taklimat serta cadangan yang dikemukakan oleh PDRM, jabatan itu bersetuju untuk mengarahkan klasifikasi semula siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan bunuh.

"Penelitian awal AGC mendapati beberapa tindakan lanjut masih perlu diambil oleh PDRM bagi melengkapkan siasatan sebelum apa-apa jua keputusan muktamad dibuat," menurut AGC dalam kenyataan hari ini.

Pada 24 November lepas, tiga lelaki berumur 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka didakwa melibas parang ke arah seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal, Melaka kira-kira jam 4.30 pagi sehingga menyebabkan seorang koperal cedera parah pada lengan kirinya.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kesemua suspek daripada Geng Durian Tunggal itu dipercayai dalam perjalanan untuk menyamun sebuah premis dan aktif melakukan jenayah sejak 2024, membabitkan 20 kes di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan kerugian RM1.35 juta.

Bagaimanapun pada 3 Disember lepas, ahli keluarga tiga suspek berkenaan menolak dakwaan bahawa mangsa bertindak ganas dengan menyerang pasukan keselamatan.

Susulan itu pada 4 Disember, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, pihaknya menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat dakwaan ahli keluarga tiga suspek lelaki terbabit yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis.

Hari ini, semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kes itu akan disiasat secara rapi dan telus tanpa sebarang tolak ansur oleh PDRM. 

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dalam kenyataan hari ini menegaskan komitmen PDRM untuk memastikan setiap proses siasatan dilaksanakan secara telus, berintegriti dan berlandaskan undang-undang demi menjamin keadilan semua pihak.

Artikel Berkaitan:

"PDRM mengesahkan kertas siasatan berhubung insiden tembakan membabitkan tiga lelaki di kawasan Durian Tunggal telah dirujuk dan ditaklimatkan kepada Jabatan Peguam Negara pada 16 Dis 2025," katanya.

Beliau berkata, PDRM tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku. - Bernama 

 

 

Ringkasan AI

  • Jabatan Peguam Negara mengarahkan siasatan kes tiga lelaki yang ditembak mati di Melaka diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh
  • Siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan bunuh
  • Tiga lelaki tersebut didakwa melibas parang ke arah seorang anggota polis, menyebabkan kecederaan
  • Kesemua suspek adalah daripada Geng Durian Tunggal, dipercayai aktif melakukan jenayah sejak 2024
  • Ahli keluarga tiga suspek menolak dakwaan bahawa mangsa bertindak ganas, menyebabkan penubuhan pasukan khas untuk siasatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!