Kes tembak: Motif disyaki akibat dendam babitkan kongsi gelap - Polis

laporan Sinar Haria pada Rabu.
laporan Sinar Haria pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Kejadian seorang lelaki yang maut ditembak di dalam kereta di Jalan Rasah-Mambau menghala ke Plaza Tol Port Dickson di sini pada Rabu lepas dipercayai bermotifkan dendam membabitkan kongsi gelap.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, setakat ini pihaknya menahan tiga lelaki untuk membantu siasatan selain merampas sepucuk pistol dan beberapa butir peluru dipercayai digunakan dalam kejadian terbabit.

"Kita masih lagi mengesan suspek dan saksi untuk bantu siasatan dan setakat ini, tujuh individu telah dipanggil untuk dirakam keterangan.

"Polis percaya kes ini disebabkan balas dendam, lelaki yang maut itu merupakan pengawal keselamatan kepada lelaki cedera yang disyaki merupakan pemimpin kepada kumpulan kongsi gelap,” katanya kepada Bernama di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, mangsa berusia 43 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar, manakala seorang lagi lelaki berumur 47 tahun cedera selepas ditembak dua suspek yang menaiki motosikal.

Dalam perkembangan lain, Alzafny berkata hingga kini, tiada pihak yang tampil membuat laporan atau memberikan maklumat berkaitan insiden seorang lelaki yang cedera terkena tembakan ketika mencari petai di kawasan hutan Kampung Maasop, Senaling pada Jumaat.

"Polis kini sedang mengesan individu terlibat. Kita tidak menolak kemungkinan ada kegiatan pemburu haram di hutan di negeri ini,” katanya.

Pada Jumaat, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Muhamad Mustafah Hussin dilaporkan berkata ketika kejadian, mangsa berusia 47 tahun itu berada di lokasi seorang diri sebelum terkena tembakan peluru penabur di bahagian rusuk sebelah kanan dan belakang.

Mangsa yang bekerja sendiri itu dilaporkan stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. - Bernama

Artikel Berkaitan:

 

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Kejadian tembak mati di Jalan Rasah-Mambau dipercayai bermotif dendam kongsi gelap
  • Tiga lelaki ditahan dan sepucuk pistol dirampas untuk bantu siasatan
  • Polis mengesan suspek dan saksi, tujuh individu telah dipanggil untuk keterangan
  • Kes berpunca dari balas dendam, mangsa merupakan pengawal keselamatan kepada pemimpin kumpulan terlibat
  • Tiada laporan mengenai insiden tembakan seorang lelaki yang mencari petai, polis mengesan kemungkinan kegiatan pemburu haram

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!