Insiden Durian Tunggal: PN mahu siasatan kes dibuat secara profesional

Takiyuddin.
Takiyuddin.
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) menegaskan semua dapatan kes siasatan polis termasuk insiden tiga suspek ditembak mati dalam insiden di Durian Tunggal baru-baru ini perlu berpandukan fakta, proses sah dan standard profesionalisme yang tidak diragui.

Ketua Whipnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, selain itu ia juga perlu bebas daripada berat sebelah atau maklumat yang berpilih-pilih, bagi memastikan kepercayaan awam terhadap agensi penguatkuasaan terus terpelihara.

"Ahli-Ahli Parlimen PN merakamkan kebimbangan dan rasa kurang selesa berikutan laporan terbaru berkait insiden tembakan di Durian Tunggal, terutama pendedahan yang dibuat oleh polis negeri Melaka mengenai perkara-perkara yang masih disiasat oleh Pasukan Siasatan Khas Bukit Aman.

"Perlu ditegaskan bahawa profesionalisme, ketelusan dan kesahihan prosedur polis hendaklah dipatuhi pada setiap masa dan berkaitan semua kes. Insiden kehilangan nyawa semasa operasi polis adalah isu serius yang menuntut ketelusan, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) siasatan dan tahap akauntibiliti tertinggi," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Pada 24 November lalu, tiga lelaki berusia 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka didakwa melibas parang ke arah seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.

Kejadian pada jam 4.30 pagi itu menyebabkan anggota polis berpangkat koperal berusia awal 30-an cedera parah pada lengan kiri.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, kenyataan awam yang dilihat sengaja mendedahkan maklumat atau sejarah peribadi dan keluarga boleh menimbulkan prasangka terhadap individu berkait kes sewaktu proses siasatan sedang berjalan berpotensi memberi gambaran salah.

Keadaan sedemikian katanya, sama ada secara sengaja atau tidak ia boleh mempengaruhi sentimen awam, sekali gus melemahkan integriti proses siasatan itu sendiri.

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) menegaskan kepentingan pendekatan berfakta dan profesional dalam kes siasatan polis
  • Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menyeru agar siasatan bebas daripada prejudis atau pemilihan maklumat
  • Ahli Parlimen PN menyatakan kebimbangan tentang insiden tembakan di Durian Tunggal serta pentingnya transparansi polis
  • Tiga lelaki berumur 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas konfrontasi dengan polis di ladang kelapa sawit Durian Tunggal
  • Takiyuddin menegaskan pentingnya mengelak prasangka dalam penyiaran kenyataan awam yang berkaitan dengan siasatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!