MDIO siap projek infrastruktur RM1 juta di Jeram Besu

RAUB – Organisasi Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) berjaya menyiapkan projek penaiktarafan infrastruktur komuniti bernilai RM1 juta di Kampung Jeram Besu di sini, sempena pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI (KAM) 2025.
Projek yang dilaksanakan dalam tempoh 14 minggu bermula 1 September hingga 9 Disember lalu itu memfokuskan kepada penaiktarafan Masjid Kampung Jeram Besu serta kerja-kerja membaik pulih Tabika KEMAS kampung berkenaan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri menyambut baik pelaksanaan program ini yang berjaya meningkatkan kemudahan asas masyarakat setempat.
“Usaha ini bukan sahaja memperkukuh kesejahteraan rakyat, malah memperlihatkan komitmen kerajaan Persekutuan dan negeri dalam memastikan pembangunan desa diberi keutamaan.

“Saya yakin projek ini akan membawa perubahan positif yang berpanjangan kepada kehidupan penduduk kampung,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Program Kampung Angkat MADANI merupakan inisiatif nasional yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024, bertujuan merapatkan jurang kemudahan asas antara kawasan desa dan bandar melalui pendekatan ‘whole of government’.
Kira-kira 83,000 penduduk daripada 43 kampung menerima manfaat langsung daripada peruntukan kerajaan sebanyak RM107 juta bagi pelaksanaan program itu di seluruh negara.
Sementara itu, Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Razali Alias berkata, pihaknya berbangga dapat menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan masyarakat melalui projek berkenaan.
Menurutnya, peningkatan kemudahan masjid, tabika dan infrastruktur asas selaras dengan mandat kerajaan untuk memastikan rakyat di luar bandar menikmati kemudahan yang lebih selesa, selamat dan berdaya maju.
“Kami akan terus memainkan peranan aktif dalam menyokong agenda pembangunan nasional selain mempereratkan hubungan antara tentera dan awam,” katanya.
Mohd Razali memaklumkan bahawa Projek KAM 2025 merupakan projek kedua yang dilaksanakan oleh MDIO.
Ujarnya, projek pertama telah dilaksanakan di Sekolah Angkat MADANI iaitu Sekolah Kebangsaan Gembut, Kota Tinggi, Johor yang melibatkan kerja-kerja menaik taraf kemudahan serta perluasan ruang kantin bagi keselesaan lebih 300 pelajar, guru dan kakitangan sekolah.
Beliau turut menegaskan komitmen MDIO untuk terus menyokong aspirasi kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur komuniti, sekali gus memastikan kemudahan asas dibangunkan secara menyeluruh demi kesejahteraan rakyat.
“Pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Jeram Besu membuktikan bahawa sinergi antara agensi kerajaan dan komuniti setempat mampu memberikan manfaat besar dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat, sejajar dengan semangat MADANI,” katanya.
Ringkasan AI
- Organisasi Perisikan Pertahanan Malaysia berjaya menyiapkan projek penaiktarafan infrastruktur bernilai RM1 juta di Kampung Jeram Besu
- Projek ini termasuk penaiktarafan masjid dan pembaikan Tabika KEMAS, berlangsung selama 14 minggu
- Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada Program Kampung Angkat MADANI 2025, diperkenalkan dalam Belanjawan 2024
- Sebanyak 83,000 penduduk daripada 43 kampung di seluruh negara mendapat manfaat dari program ini dengan peruntukan RM107 juta
- Program Kampung Angkat MADANI bertujuan merapatkan jurang kemudahan asas antara desa dan bandar melalui pendekatan whole of government
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

