Lebih 1 tan dadah, ketum bernilai RM26 juta dilupuskan

IPOH - Polis Perak melupuskan barang kes melibatkan pelbagai jenis dadah dan ketum bernilai RM26.14 juta.
Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, pelupusan tersebut melibatkan 949.3 kilogram (kg) dadah, 4,963 liter cecair dadah dan kimia serta 652kg daun ketum.
Menurut beliau, pelupusan eksibit itu membabitkan 5,483 kertas siasatan yang telah selesai perbicaraan daripada tahun 2012 hingga 2024.
"Kesemua eksibit ini adalah hasil daripada serbuan dan rampasan melibatkan 15 daerah dalam kontinjen Perak kecuali daerah Bagan Datuk.
"Antara dadah yang dilupuskan adalah syabu seberat 404.4kg, 165.3kg ganja, 46.8kg ketamin dan 4.4kg heroin," katanya dalam sidang akhbar Pelupusan Barang Kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Khamis.

Pada masa sama, Mohammad Azlin berkata, JSJN PDRM Perak telah berjaya menangkap seramai 13,997 pesalah kes bagi tempoh Januari hingga Ahad lalu.
Tambahnya, seramai 1,918 pengedar dadah telah ditangkap dan ia meningkat sebanyak 11 peratus berbanding 1,727 orang bagi tempoh sama pada tahun 2024.
"Daripada jumlah tersebut, seramai 351 orang ditangkap di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala, 51 orang pula telah ditangkap di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.
"Kebanyakan mereka ini merupakan dalang atau perancang serta pembiaya dalam sindiket yang telah ditumpaskan pada tahun 2025," katanya.
Mohammad Azlin berkata, bagi kesalahan memiliki dadah turut menunjukkan peningkatan apabila seramai 4,816 orang telah ditangkap berbanding 4,257 orang bagi tempoh yang sama pada tahun 2024.
"Bagi tangkapan urin seramai 7,212 orang telah ditangkap berbanding 7,852 orang bagi tempoh yang sama pada tahun 2024.
"Jumlah rampasan dadah bagi kes pengedaran dan memiliki ini telah menghasilkan rampasan pelbagai jenis dadah berjumlah RM15.7 Juta.
"Dadah jenis Syabu, Ketamin dan Heroin merupakan rampasan yang tertinggi tahun ini," katanya.
Jelas beliau, sebanyak 4,827 kertas siasatan dibuka bawah Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun dengan 98 peratus telah dituduh.
"Bagi sitaan harta pengedar-pengedar dadah di bawah Akta Perlucuthakan Harta 1988 menghasilkan rampasan pelbagai jenis harta benda termasuk rumah, tanah, barang kemas, kenderaan dan akaun dalam bank bernilai RM 6.3 juta.
"Kejayaan ini adalah hasil kerjasama yang berterusan di antara masyarakat dengan agensi penguatkuasaan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
