Wanita didakwa 'madukan' suami sudah bercerai pada 2022 - Jaheaik

KOTA BHARU - Wanita yang didakwa 'memadukan' suaminya disahkan sudah bercerai dengan suami pertama yang merupakan orang Kelantan pada Jun 2022 lalu oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) pada Isnin.
Exco Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, perkahwinan wanita berkenaan dengan lelaki dari Johor pula berlaku di Thailand pada tahun 2024.
"Jadi wanita berkenaan tidak punyai dua suami, hanya seorang sahaja.
"Maklumat ini hasil keterangan wanita berkenaan dan bekas suami pertama," katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, bagaimanapun siasatan lanjut berhubung kes ini akan tetap dijalankan.
Sinar Harian sebelum itu melaporkan seorang wanita yang didakwa 'memadukan' suaminya sudah diambil keterangan oleh Jaheaik bagi membantu siasatan pada Ahad.
Pada Sabtu, kertas siasatan berkaitan dakwaan seorang isteri bertindak 'memadukan' suaminya di Tanah Merah sudah dibuka oleh Jaheaik.
Menurut Mohd Asri, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 38 dan Seksyen 40 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2002.
"Seksyen 38 itu berkait akuan atau pernyataan palsu untuk mendapatkan perkahwinan.
"Seksyen 40 merujuk kepada kesalahan berhubung akad nikah," katanya.
Sebelum itu tindakan seorang wanita berkahwin dengan lelaki lain ketika masih bergelar isteri terbongkar selepas perkara tersebut diketahui oleh keluarga mentuanya.
Rahsia yang disimpan selama setahun itu pecah selepas perkara tersebut berjaya dihidu oleh adik iparnya, yang ingin dikenali sebagai Nur pada 6 Disember lalu.
Ia terbongkar selepas Nur memeriksa rumah suami kedua kakak iparnya itu di sebuah taman di Batu 11 di sini bersama anggota polis dan penduduk setempat bagi mengesahkan perkara tersebut.
Bagaimanapun lelaki yang didakwa 'dimadukan' oleh isterinya memaklumkan dia telah menceraikan wanita tersebut pada 15 Januari 2022.
Katanya, penceraian tersebut belum dilaporkan kepada Pejabat Agama Islam lagi.
Ringkasan AI
- Wanita itu disahkan telah bercerai dengan suami pertama dari Kelantan pada Jun 2022 oleh Jaheaik
- Perkahwinan wanita tersebut dengan lelaki dari Johor berlangsung di Thailand pada tahun 2024
- Wanita tersebut disahkan tidak mempunyai dua suami secara serentak
- Siasatan lanjut akan dijalankan walaupun terdapat pengesahan cerai dan hanya satu perkahwinan yang sah
- Kes ini disiasat di bawah Seksyen 38 dan Seksyen 40 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2002 berkaitan akuan palsu dan kesalahan akad nikah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

