Amaran hujan lebat berterusan sehingga Khamis

KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Ahad mengeluarkan amaran hujan berterusan yang dijangka melanda beberapa negeri sehingga Khamis.
Ketua Pengarah MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan bahawa hujan lebat berterusan tahap buruk dijangka berlaku di seluruh negeri Kelantan dan Terengganu.
Amaran sama turut melibatkan beberapa kawasan di Pahang iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin serta Johor di Mersing dan Kota Tinggi.
Beliau berkata, hujan berterusan tahap waspada pula melibatkan Perak (Hulu Perak dan Kuala Kangsar), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Temerloh, Maran dan Bera) serta Johor (Segamat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru) untuk tempoh sama.
Selain itu, amaran hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku sehingga Selasa (16 Dis) melibatkan Sarawak iaitu di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi mobil myCuaca, laman media sosial rasmi MetMalaysia dan talian MetMalaysia 1-300-22-1638. - Bernama
Ringkasan AI
- Kuala Lumpur - Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan sehingga Khamis
- Hujan lebat berterusan di Kelantan dan Terengganu
- Kawasan terlibat di Pahang termasuk Kuantan, Pekan dan Rompin serta Johor di Mersing dan Kota Tinggi
- Amaran waspada di Perak, Pahang, dan Johor untuk tempoh sama
- Amaran hujan waspada di Sarawak sehingga Selasa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
