Ajaran baharu perlu dipantau agar tidak terus menyimpang

GERAKANkultus berasal dari Korea Selatan yang didakwa janggal serta menyimpang mula menjadi perhatian apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan kewujudannya ditambah dengan penglibatan tokoh tempatan.
Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengakui gerakan itu berada dalam radar Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan data-data berkaitan struktur pertubuhan, corak kegiatannya dan penglibatan dan lain-lain telah diperincikan.
Meskipun aktiviti gerakan itu dikatakan masih belum mencapai tahap mengancam keselamatan negara, pemantauan rapi tetap dilaksanakan kerana sifat ajaran sesat cenderung menyusup secara halus dalam masyarakat.
Kebimbangan terhadap kumpulan yang dikatakan aktif di negara ini awalnya disuarakan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berikutan gerakan itu mempromosikan keamanan dan kesatuan telah tersebar secara umum sejak beberapa tahun lalu.
Dari segi pengawalan, Saifuddin memaklumkan bahawa Cawangan Khas PDRM mempunyai unit khusus yang menangani isu ajaran sesat merentasi pelbagai agama dan kepercayaan.
Pasukan itu bertanggungjawab memantau modus operandi kumpulan serta individu yang terlibat termasuk perekrutan, aktiviti perjumpaan dan pengaruh terhadap masyarakat.
Secara umumnya, strategi pengawasan itu penting kerana kumpulan ajaran sesat lazimnya menggunakan saluran sosial dan program kebajikan sebagai 'topeng' untuk menarik penyokong baharu.
Cabaran pengawalan ajaran sesat di Malaysia bukan sahaja melibatkan penguatkuasaan undang-undang tetapi juga pendidikan dan kesedaran masyarakat.
Meskipun terdapat peruntukan undang-undang berkaitan keselamatan awam, kerjasama antara pihak berkuasa serta masyarakat setempat penting dalam mengekang pengaruh ajaran yang menyimpang.
Selain itu, keterbukaan maklumat kepada masyarakat dan penyebaran panduan mengenali ciri ajaran sesat adalah langkah preventif yang efektif.
Pengawalan ajaran sesat memerlukan pendekatan holistik berikutan ancaman tidak selalu nyata.
Langkah pencegahan dan pengawalan tetap kritikal bagi memastikan masyarakat tidak mudah terjerumus ke dalam aktiviti yang menyimpang dari norma agama dan sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
