Tokoh tempatan didakwa terlibat gerakan kultus Korea - KDN

KULIM – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan terdapat kegiatan dan penglibatan tokoh tempatan yang didakwa terbabit dalam satu gerakan kultus berasal dari Korea Selatan yang kini berada dalam radar pasukan keselamatan negara.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyalurkan maklumat berkaitan perkara itu kepada kementerian berkenaan.
“Saya telah diberi taklimat oleh pihak Cawangan Khas PDRM tentang, pertama, pertubuhan itu, corak kegiatannya, penglibatan tokoh tempatan dan sebagainya.
“Jadi, fakta nombor satu adalah sememangnya ia berada dalam radar pasukan keselamatan kita,” katanya selepas pelancaran program Kembali ke Sekolah 2026 di sini, pada Sabtu.
Beliau mengulas berhubung sebuah gerakan kultus yang berasal dari Korea dan didakwa janggal serta menyimpang, namun aktif di Malaysia.
Menurutnya, walaupun kegiatan berkenaan tidak berada pada tahap yang mengancam keselamatan negara, pemantauan berterusan tetap dijalankan oleh PDRM bagi memastikan ia terkawal.
“Kegiatannya hadir dalam bentuk-bentuk umum yang sekilas pandang tidak nampak sebarang bentuk yang boleh dianggap sebagai satu bentuk ancaman.
“Jadi, barangkali kerana penampilannya begitu, maka penglibatan dan kehadiran beberapa tokoh politik negara itu berlaku,” jelasnya.
Sebelum ini, Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menerusi hantaran di Facebook mendedahkan bahawa beberapa ahli Parlimen dan individu penting dilihat aktif membantu gerakan kultus berkenaan, selain memaklumkan satu taklimat mengenainya telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis.
Dalam perkembangan sama, Saifuddin memaklumkan bahawa Cawangan Khas PDRM mempunyai unit khusus yang menangani isu ajaran sesat merentasi pelbagai agama dan kepercayaan, termasuk memantau modus operandi kumpulan serta individu yang terlibat.
Ringkasan AI
- KDN mengesahkan kegiatan dan penglibatan tokoh tempatan dalam gerakan kultus dari Korea Selatan
- Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyalurkan maklumat berkaitan kepada KDN
- Pemantauan berterusan dijalankan oleh PDRM walaupun kegiatan kultus tidak mengancam keselamatan negara
- Beberapa tokoh politik negara terlibat dengan gerakan kultus tersebut kerana penampilannya yang tidak mencurigakan
- Cawangan Khas PDRM memiliki unit khusus untuk mengurus isu ajaran sesat merentasi pelbagai agama dan kepercayaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

