Pakej Prihatin dirancang rapi, menyeluruh: Bersatu Sabah

Orang awam mengikuti siaran langsung pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat. -Foto Bernama
Orang awam mengikuti siaran langsung pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat. -Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah menyifatkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dirancang rapi dan menyeluruh sebelum dibentangkan bagi memastikan tiada pihak yang tersisih dalam mendepani krisis wabak koronavirus (Covid-19).

Ketuanya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkara itu dapat dilihat apabila manfaat itu dinikmati semua lapisan masyarakat di negara ini.

Menurutnya, pakej itu juga secara tidak langsung turut mencerminkan komitmen Kerajaan Perikatan Nasional yang mengambil berat kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

"Pakej Prihatin ini amat baik dan telah memberi harapan dan nafas baharu yang diperlukan oleh rakyat negara ini yang terkesan akibat wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"PKP mengakibatkan ramai rakyat terkesan dengan sebahagian besar sumber pendapatan mereka terjejas, kerana tidak dapat keluar bekerja atau berniaga untuk menyara hidup keluarga.

"Melalui pelbagai jenis bantuan secara one-off selain pemberian insentif lain, maka seluruh sektor termasuk peniaga, pekerja swasta, penjawat awam, pesara kerajaan, pelajar, petani, penternak, nelayan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan lain-lain terbela sekaligus dapat meringankan beban mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menunjukkan kepimpinan yang begitu baik dan berjiwa rakyat.

Katanya, dalam mendepani cabaran krisis wabak Covid-19 dan ekonomi dunia yang merudum, Muhyiddin dapat melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara.

Artikel Berkaitan:

"Dalam konteks negeri Sabah, rakyat negeri ini amat memerlukan bantuan seperti itu kerana terkesan akibat wabak Covid-19 yang terus menular setiap hari.

"Mwelalui bantuan daripada kerajaan Persekutuan, rakyat akan gembira dan lega terutamanya dalam kalangan masyarakat Islam yang akan menyambut kedatangan Ramadan pada akhir April dan Aidilfitri pada akhir Mei nanti," katanya.