Laporan Sinar Harian buka laluan baharu buat Moksulynie Herbs

JELI - Laporan Sinar Harian telah berjaya mengangkat kisah kehidupan dan keusahawanan Nur Azlyni Abdullah, seorang usahawan wanita muda dari Jeli yang membangunkan perniagaan berasaskan herba tradisional dan hasil hutan melalui kerjasama rapat dengan komuniti Orang Asli.
Laporan yang disiarkan dalam edisi cetak dan dalam talian bertajuk “Moksulynie Herbs: Kisah kejayaan anak muda Jeli” dan “Usahawan Jeli angkat herba Orang Asli" memberi kesan besar kepada Moksulynie Herbs.
Berikutan laporan tersebut, ramai yang sebelum ini tidak menyedari kewujudan perniagaan ini mula mengenali jenama berkenaan dan memahami manfaat produk yang ditawarkan.
Lebih signifikan, laporan Sinar Harian turut membuka ruang baharu kepada Nur Azlyni apabila kewujudan serta potensi perniagaannya mula disedari oleh pemimpin tempatan dan agensi kerajaan.
Beberapa pihak tampil menawarkan sokongan dan bantuan, sekali gus membuktikan peranan penting media arus perdana dalam menjadi penghubung antara suara rakyat dan institusi pembangunan.

Menurut Nur Azlyni, pada petang Rabu 10 Disember, pegawai daripada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), telah membuat kunjungan ke rumahnya.
Pegawai tersebut memaklumkan beliau telah diarahkan oleh ibu pejabat KESEDAR untuk meninjau sendiri perkembangan serta keperluan perniagaan Nur Azlyni, memandangkan agensi itu mempunyai peruntukan khas bagi membantu usahawan dalam kawasan tadbirannya.
Perhatian terhadap usaha Nur Azlyni turut dizahirkan oleh kepimpinan negeri apabila pada Jumaat 12 Disember, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Lanas merangkap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor, telah mengadakan kunjungan ke atas beliau.
Kamarudin hadir bersama isteri, Datin Siti Fatimah Iskandar, serta pegawai Pusat Khidmat ADUN Air Lanas yang diketuai oleh pengarahnya, Muhammad Baihaki.
Hasil kunjungan itu segera dimuatkan dalam satu hantaran Facebook rasmi Pusat Khidmat ADUN Air Lanas berbunyi:
“Alhamdulillah, hari ini YB Datuk Kamarudin Md Nor ADUN Air Lanas sempat menziarahi dan menemu bual Moksu Lynie, nama yang tak asing lagi di media sosial antara insan yang gigih membekalkan herba dan hasil hutan dari kawasan Jeli di kediamannya di Kg Belahat.
• Semangat Moksu Lynie berniaga dari hasil bumi sendiri memang inspirasi.
• Usaha macam inilah yang menggerakkan ekonomi kampung dan bantu ramai orang.
• Kita doakan moga rezeki Moksu Lynie makin luas, perniagaan makin maju, dan terus jadi kebanggaan Jeli.”
Nur Azlyni ketika ditemui melahirkan rasa terharu dan bersyukur atas liputan yang diberikan oleh akhbar Suara Rakyat itu.
“Saya sebelum ini telah mempunyai ramai pengikut dan pelanggan tetap melalui media sosial TikTok tetapi ini kali pertama saya mendapat liputan media arus perdana dan liputan ini membolehkan saya pergi lebih jauh.
“Berita yang disiarkan oleh akhbar Sinar Harian rupanya mempunyai impak yang besar, selain membolehkan saya menjangkaui orang ramai ia juga menyebabkan kewujudan saya disedari oleh pemimpin dan agensi kerajaan.
“Saya selalu membaca akhbar Sinar Harian dan baru-baru ini saya melihat ia mengubah logonya menjadi akhbar ‘Suara Rakyat’. Penyiaran kisah saya menjadi satu contoh terbaik dalam mana akhbar ini mengangkat suara rakyat,” katanya.
Beliau berkata, KESEDAR dan Kamarudin turut memberikan sokongan moral dan mendalami khasiat, proses pemerolehan, pembuatan dan pengedaran produk akar kayu, selain bertanyakan mengenai permasalahan dan keperluan.
“Saya cukup teruja dengan minat tinggi yang ditunjukkan oleh beliau ke atas produk-produk saya, malah saya terkejut bila isteri beliau memaklumkan biasa mengikuti TikTok saya dan pernah membeli produk sulur bertam daripada saya sebelum ini,” katanya.
Nur Azlyni ditemui dalam satu majlis jamuan ringan bersempena kunjungan Kamarudin dan rombongannya ke homestay dan roomstay Moksulynie di Kampung Berdang selepas melawat pusat pemprosesan dan pameran Moksulynie Herbs di Kampung Belahat.
Beliau menjelaskan cabaran utama perniagaannya adalah bekalan yang sering terputus.
“Ada masanya bekalan kayu dari Jeli terputus tetapi saya mendapatkan bekalan Orang Asli di Kampung Sungai Berua, Kuala Berang.
“Bagaimanapun untuk tongkat teras ibol, proses membuatnya sukar. Orang Asli di Kampung Sungai Rual biasanya keluar selama dua minggu jauh di dalam hutan di Bukit Chegal Bedil untuk mencarinya.
“Pokok ibol ini seperti pokok pinang, sesudah ditebang ia dibuat mengikut saiz seperti 4 kaki, ia dibelah empat menggunakan gergaji dan setiap batang akan dikerisik jadi bulat menggunakan sabit/golok.
“Proses menghasilkan setiap batang ini mengambil masa 2-3 jam menyebabkan hanya 10 batang sahaja mampu dihasilkan setiap hari. Sebab itu saya berharap akan mendapat bantuan untuk membeli mesin ‘table saw’," katanya.
Ayah Nur Azlyni, Abdullah Md Nor, 78, pula berkata, beliau amat gembira menerima kunjungan tersebut.
“Kamarudin walaupun orang asal Pasir Puteh seperti saya tetapi selalu turun padang ke kampung-kampung sekitar, isteri beliau pun pernah ke rumah saya mengunjungi isteri yang keuzuran tetapi ini kali pertama saya bertemu beliau.
“Saya gembira bila mendapat tahu beliau berminat dengan produk yang diusahakan anak saya kerana ini akan membantu perniagaan berkembang. Saya sudah lama berhubung dengan Orang Asli di Jeli cuma buat secara kecil-kecilan sahaja.
“Bila anak saya menggunakan media sosial untuk memasarkan produk ini barulah hasil jualan meningkat dengan banyak. Kini dengan sokongan akhbar Sinar Harian pula ia membuka ruang lebih luas untuk produk ini berkembang.
“Anak saya ini walaupun tidak berpendidikan tinggi dan hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja, tetapi mempunyai minat untuk berniaga yang tinggi, bermula dari membawa petai di Jeli ke Seremban dan petah bercakap. Itu kelebihan dia,” katanya.

Seorang saudara Nur Azlyni, Aida Rozita Mokhtar berkata, walaupun Nur Azlyni, hanya ada SPM tetapi beliau bersungguh dalam membuat kerja serta sentiasa berusaha untuk menambah pengetahuan dan memperbaiki kemahiran diri, khasnya dalam bidang pemasaran.
“Beliau juga bijak mengurus perniagaannya dengan mengambil kakitangan yang berkelulusan ijazah dari institut pengajian tinggi awam (IPTA) untuk membantu. Kebajikan kakitangannya juga dibayar dan mereka dibayar gaji minimum.
“Beliau juga ada visi sendiri dengan perancangan yang baik selain tidak lokek untuk memberi sumbangan kepada ahli-ahli keluarga yang kesusahan, termasuk menjaga ibunya yang keuzuran. Ini semua ciri diperlukan untuk kejayaan individu,” katanya.
Kesimpulannya, kisah Moksulynie Herbs memperlihatkan bagaimana usaha gigih di peringkat akar umbi mampu berkembang apabila diberi ruang dan sokongan yang sewajarnya.
Ia juga membuktikan peranan besar media arus perdana dalam mengangkat suara rakyat, membuka laluan bantuan institusi serta memperkukuh ekosistem keusahawanan desa.
Ringkasan AI
- Laporan Sinar Harian telah berjaya mengangkat kisah Nur Azlyni Abdullah, usahawan wanita muda dari Jeli yang mengusahakan perniagaan herba tradisional dan hasil hutan dengan kerjasama Orang Asli
- Sejak liputan tersebut, jenama dan produk Nur Azlyni mula dikenali ramai termasuk pemimpin tempatan dan agensi kerajaan yang menawarkan sokongan
- KESEDAR dan Datuk Kamarudin Md Nor, ADUN Air Lanas, telah mengunjungi Nur Azlyni untuk menawarkan bantuan dan memahami lebih lanjut tentang perniagaan tersebut
- Minat yang tinggi dari pelbagai pihak termasuk dari keluarga, yang mana ayah dan saudara Nur Azlyni turut menyokong dan bangga terhadap kejayaan usahawannya
- Kisah Moksulynie Herbs menunjukkan peranan media dalam mengangkat suara rakyat dan bagaimana usaha keusahawanan di peringkat akar umbi dapat berkembang dengan sokongan yang sesuai
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
