Treler bawa helikopter akibatkan kesesakan lalu lintas

SUBANG JAYA - Tindakan sebuah lori treler panjang membawa muatan helikopter dari arah Lebuhraya Shah Alam (KESAS) ke susur Jalan Persiaran Kewajipan di sini mengakibatkan kesesakan lalu lintas, 4 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian itu mengundang kesesakan lalu lintas selepas kenderaan itu gagal melalui susur jalan akibat muatan terlalu panjang serta mengganggu pengguna jalan raya lain.
Beliau berkata, polis menerima laporan pada Jumaat, jam 8.06 malam, berkaitan satu pautan video tular di media sosial TikTok yang memaparkan kejadian berkenaan.
"Video tersebut menunjukkan sebuah lori treler membawa sebuah helikopter dari arah Lebuhraya KESAS ke susur Jalan Persiaran Kewajipan sehingga menyebabkan aliran trafik terjejas dan berlaku kesesakan.
"Siasatan awal mendapati kejadian sebenar berlaku pada 4 Disember lalu kira-kira jam 4.30 petang apabila lori treler berkenaan tidak dapat melalui susur jalan tersebut kerana muatannya terlalu panjang," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya, keadaan itu bukan sahaja mengganggu kelancaran lalu lintas, malah sebuah ambulans yang berada di lokasi turut terjejas pergerakannya akibat kesesakan yang berlaku.
"Setakat ini pihak polis masih belum mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan yang terlibat dalam kejadian berkenaan.
"Kes disiasat di bawah Kaedah Rule 9(2) LN 166/59 kerana menyebabkan halangan dan gangguan kepada pengguna jalan raya lain,” katanya.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Inspektor Mohd Azizul Hakim Roslan di talian 011-28914495," katanya.
Ringkasan AI
- Lori treler membawa muatan helikopter dari Lebuhraya Shah Alam ke Jalan Persiaran Kewajipan menyebabkan kesesakan lalu lintas pada 4 Disember
- Kenderaan tersebut gagal melalui susur jalan kerana muatan terlalu panjang
- Polis menerima laporan kejadian yang tular di TikTok pada jam 8.06 malam
- Ambulans di lokasi juga terjejas pergerakannya disebabkan kesesakan
- Kes disiasat di bawah Kaedah Rule 9(2) LN 166/59 kerana mengganggu pengguna jalan raya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

