SPR tiada pilihan lain

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mempunyai pilihan selain mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dan Parlimen Kinabatangan susulan kekosongan yang berlaku.
Penganalisis politik, Dr G Manimaran berkata, peruntukan Perlembagaan menetapkan mandat 12 bulan (12/12) dikira bermula dari tarikh pertama sidang Parlimen atau DUN, bukan dari hari pilihan raya berlangsung.
"Dalam kes ini, kematian wakil rakyat berlaku sebelum bermulanya sidang. Walaupun jaraknya hanya dalam beberapa hari, undang-undang jelas menyatakan bahawa PRK perlu diadakan kerana kekosongan itu berlaku dalam tempoh tiga tahun pertama penggal.
"SPR tidak boleh mengelak. Jika PRK tidak dijalankan, ia menafikan hak pengundi dan parti politik untuk mempunyai wakil yang sah. Malah ada kemungkinan isu ini dibawa ke mahkamah," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum ini SPR dilapor memaklumkan, satu mesyuarat khas bagi urusan PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag akan diadakan pada Selasa depan.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, pihaknya sudah menerima pemakluman rasmi daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul dan Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya berhubung kekosongan luar jangka bagi kedua-dua kerusi berkenaan pada Selasa.
Menurutnya, selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 21 (5) Perlembagaan Negeri Sabah yang memperuntukkan bahawa kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P187 Kinabatangan dan Dewan Undangan N58 Lamag, Sabah, hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan dipastikan SPR.
Mengulas lanjut, Manimaran berkata, rakyat atau parti di dua kawasan terlibat boleh berhujah bahawa hak demokrasi mereka dinafikan sekiranya kekosongan tidak diisi mengikut peruntukan undang-undang.
"Walaupun seorang wakil rakyat itu meninggal selepas menang (pilihan raya) atau dalam tempoh dua tahun sekali pun, jika undang-undang menuntut PRK, SPR boleh dan perlu melaksanakannya.
"Sekiranya tidak, keputusan SPR boleh dipertikai dan dicabar kerana peraturan berkaitan pilihan raya jelas iaitu bila kekosongan berlaku dalam tempoh tiga tahun pertama penggal, PRK perlu dilaksanakan," ujarnya.
Sementara itu beliau turut menjangkakan PRK bagi dua kerusi berkenaan berkemungkinan diadakan sekitar pertengahan Januari depan.
"Ia boleh berlangsung selepas empat hingga lima minggu dari tarikh SPR memutuskan dan mengumumkan kekosongan kerusi DUN serta Parlimen," katanya.
Ringkasan AI
- SPR terpaksa mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk kerusi DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan susulan kekosongan yang berlaku
- Perlembagaan menetapkan mandat 12 bulan dikira bermula dari tarikh pertama sidang Parlimen atau DUN
- Undang-undang menyatakan PRK perlu diadakan jika kekosongan berlaku dalam tempoh tiga tahun pertama penggal
- Mesyuarat khas urusan PRK akan diadakan oleh SPR
- PRK dijangka diadakan sekitar pertengahan Januari depan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

