Kerja fleksibel, hidup seimbang
PERSEPKTIF

'Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain'.
Begitulah peribahasa Melayu yang mengingatkan kita bahawa perubahan kecil yang konsisten mampu membawa hasil besar.
Begitu juga dengan usaha kerajaan memperkenalkan fleksibiliti kerja bagi penjawat awam, ia adalah satu langkah kecil tetapi bermakna ke arah keseimbangan hidup dan pekerjaan. Dalam jangka panjang, inisiatif ini berpotensi menzahirkan budaya kerja yang lebih mesra keluarga, inklusif serta mampan untuk generasi akan datang.
Seiring perubahan landskap pasca-pandemik, amalan kerja fleksibel semakin menjadi keperluan dan bukan lagi pilihan. Penjawat awam kini berdepan tuntutan baharu yakni memberikan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat sambil mengekalkan kesejahteraan diri. Tekanan kos sara hidup, tuntutan keluarga dan keperluan kesihatan mental menjadikan dasar ini semakin relevan. Justeru, fleksibiliti kerja bukan sahaja satu kemudahan, malah sebuah keperluan strategik bagi memastikan kelestarian tenaga kerja negara.
Kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang meneliti pelaksanaan sistem kerja fleksibel lebih menyeluruh termasuk bekerja dari rumah (BDR) secara bersasar. Malah, pada Sidang Kemuncak ASEAN 2025, dasar BDR masih diteruskan sebagai langkah mengekalkan kelancaran perkhidmatan awam dan kesejahteraan pegawai. Hal ini membuktikan bahawa Malaysia turut seiring dengan trend global yang memberi penekanan kepada keseimbangan kerja dan kehidupan.
Memetik kata-kata Albert Einstein: “Life is like riding a bicycle. To keep your balance, you must keep moving.” Begitu juga keseimbangan hidup dan kerja, ia menuntut penyesuaian berterusan agar tidak tergelincir daripada landasan. Fleksibiliti memberi ruang untuk menurunkan tekanan kerja, mengurangkan kesesakan lalu lintas serta meningkatkan fokus dan produktiviti. Kajian sektor profesional di Malaysia mendapati majoriti pekerja menyokong model pasca-Covid yang membolehkan kerja dilakukan di lokasi lebih anjal. Dalam konteks penjawat awam, ia juga boleh meningkatkan kepuasan hati pegawai dan memperkukuh budaya kerja berintegriti.
Namun, cabaran tetap wujud. Antara yang dikenal pasti ialah pengawasan prestasi yang adil, mengekalkan budaya kerja berpasukan serta memastikan infrastruktur teknologi maklumat kukuhan. Hal Ini memberikan indikasi bahawa pentingnya pelaburan dalam keselamatan siber dan sistem digital yang efisien. Tanpa asas teknologi yang mantap, fleksibiliti kerja boleh mengundang risiko kebocoran maklumat dan ketidakcekapan operasi. Justeru, setiap dasar baharu mesti diseimbangkan dengan kawalan risiko dan langkah pemantauan yang rapi.
Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan fleksibiliti kerja ini, beberapa cadangan praktikal boleh dipertimbangkan:
1. Pelaksanaan fasa perintis mengikut jabatan dan fungsi
2. Garis panduan permohonan fleksibiliti yang telus dan adil
3. Pemantauan berkala melalui indikator produktiviti dan kesejahteraan
4. Latihan kepada ketua jabatan untuk menilai prestasi berasaskan hasil, bukan semata-mata kehadiran di pejabat
5. Pengukuhan sokongan IT demi kelancaran kerja jarak jauh
Pada tahun 2024, bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali menegaskan bahawa penjawat awam perlu menyesuaikan diri dengan cara kerja baharu yang lebih fleksibel, tetapi pada masa sama memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terganggu. Pandangan ini mengingatkan bahawa keseimbangan hanya tercapai apabila fleksibiliti disusuli dengan rasa tanggungjawab dan integriti terhadap tugas yang diamanahkan. Dasar ini hanya akan berjaya sekiranya penjawat awam sendiri bersedia menerima perubahan dan menjadikannya sebagai budaya kerja baharu.
Jika dasar ini digembleng bersama oleh penjawat awam dan pihak pengurusan, hasilnya bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan kakitangan, malah memperkukuh keyakinan rakyat terhadap kecekapan perkhidmatan awam. Tambahan pula, fleksibiliti kerja mampu membuka peluang kepada golongan wanita, ibu bapa muda serta individu kurang upaya untuk lebih aktif menyumbang dalam sektor perkhidmatan awam.
Kesimpulannya, fleksibiliti kerja bukan satu ancaman, sebaliknya peluang untuk menjadikan penjawat awam lebih produktif, inovatif dan sejahtera. Melalui dasar jelas, sokongan teknologi, pengurusan berasaskan hasil serta budaya kerja yang progresif, era baharu perkhidmatan awam mampu menjelmakan keseimbangan kehidupan yang lebih harmoni dan manusiawi.
Inilah wajah masa depan yang diidamkan iaitu sebuah perkhidmatan awam yang cekap, mesra rakyat dan berdaya saing di persada global.
* Alfina Bakar ialah Ketua Timbalan Pendaftar Kanan, UiTM Cawangan Selangor dan Rohayu Ruwati Ibrahim ialah Penolong Pendaftar Kanan, Fakulti Alam Bina, UiTM Shah Alam
Ringkasan AI
- Perubahan kecil dan konsisten dalam kerja fleksibel boleh bawa hasil besar ke arah keseimbangan hidup dan pekerjaan
- Fleksibiliti kerja menjadi keperluan dalam landskap pasca-pandemik untuk mengekalkan kesejahteraan dan kecekapan penjawat awam
- Kerajaan dan JPA sedang meneliti pelaksanaan kerja fleksibel termasuk bekerja dari rumah sebagai langkah kesinambungan perkhidmatan awam
- Cabaran dalam pelaksanaan fleksibiliti kerja seperti pengawasan prestasi dan keperluan infrastruktur teknologi yang kukuh
- Cadangan praktikal termasuk pelaksanaan fasa perintis dan pengukuhan sokongan IT untuk mengoptimumkan kerja fleksibel bagi penjawat awam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
