Thailand bubar Parlimen

BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul membubarkan Parlimen pada Jumaat, tiga bulan selepas beliau memegang jawatan itu.
Keputusan itu dibuat ketika konflik sempadan bersama Kemboja sedang memuncak dan ia bakal menyaksikan pilihan raya berlangsung dalam tempoh 60 hari.
"Kerajaan tidak boleh terus mentadbir hal ehwal negara dengan cekap dan stabil memandangkan pentadbiran sekarang dipimpin kerajaan minoriti.
"Selain itu, keadaan politik domestik yang berdepan pelbagai cabaran juga diambil kira. Oleh itu, penyelesaian yang sesuai adalah membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya baharu," menurut Warta Kerajaan.
Di bawah undang-undang negara itu, pemilihan tersebut perlu berlangsung dalam tempoh 45 hingga 60 hari yang bermakna tarikh pilihan raya dijangka pada akhir Januari atau awal Februari depan.
Anutin yang memimpin parti konservatif Bhumjaithai menerusi Facebook pada lewat Khamis memaklumkan beliau mahu mengembalikan kuasa kepada rakyat.
Beliau pernah menjadi sekutu puak politik berpengaruh pimpinan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, namun menarik diri daripada pakatan bersama Parti Pheu Thai pada musim panas lalu susulan insiden kebocoran audio panggilan telefon melibatkan pendahulunya, Paetongtarn Shinawatra.
Sejak mengambil alih tugas pada September lalu, Anutin telah berdepan dengan konflik ketenteraan bersama Phnom Penh selain krisis pusat scammer di Myanmar yang mengakibatkan ratusan mangsa menyeberangi sempadan ke Thailand. - AFP
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul membubarkan Parlimen tiga bulan selepas beliau memegang jawatan
- Pembubaran Parlimen berlaku ketika konflik sempadan dengan Kemboja memuncak dan pilihan raya dijadual berlangsung dalam 60 hari
- Ketidakupayaan untuk mentadbir dengan cekap dan stabil dalam keadaan politik domestik yang bercabar menjadi sebab pembubaran
- Pilihan raya yang dijangkakan berlaku pada akhir Januari atau awal Februari
- Anutin, sebelum ini sekutu Thaksin Shinawatra, telah berdepan dengan konflik ketenteraan dengan Kemboja dan krisis scammer di Myanmar sejak September
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

