Microsoft tawar skim pemberhentian sukarela kepada 60,000 pekerja

SAN JOSE - Gergasi perisian Microsoft menawarkan skim pemberhentian sukarela kepada kira-kira 60,000 pekerjanya, menurut syarikat itu pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Naib Presiden Eksekutif Microsoft Amy Coleman berkata, sebahagian pekerja di Kanada, India, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) layak menerima tawaran berkenaan.
"Tawaran ini memberi pilihan baharu kepada pekerja yang layak dan mungkin sedang mempertimbangkan masa depan di luar syarikat untuk meninggalkan Microsoft sekarang dengan sokongan yang disediakan.
"Ia juga memberi peluang kepada organisasi yang mengambil bahagian untuk menyesuaikan tenaga kerja mereka mengikut perubahan keperluan," kata beliau menerusi catatan blog.
Menurut pemfailan laporan tahunannya, Microsoft mempunyai kira-kira 223,000 pekerja sepenuh masa di seluruh dunia setakat 30 Jun lalu.
Awal tahun ini, Microsoft mengumumkan pengurangan kira-kira 4,800 pekerjaan selain melaksanakan penstrukturan semula bahagian permainan video Xbox.
Beberapa syarikat teknologi termasuk Google dan Meta turut mengumumkan pengurangan tenaga kerja tahun ini ketika pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI) semakin meningkat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
