Jadikan Indonesia sebagai penanda aras semak terma ART - Hamzah

KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menggesa kerajaan segera meneliti secara serius penolakan Indonesia terhadap beberapa klausa yang dianggap 'bermasalah' dalam perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS).
Menurut Hamzah, pendirian tegas Indonesia itu wajar dijadikan indikator penting bagi menilai bagaimana negara-negara ASEAN melihat impak sebenar perjanjian tersebut.
"Apabila Reuters melaporkan bahawa Indonesia menolak persetujuan awal beberapa terma perjanjian dengan Amerika kerana dianggap terlalu mengikat dan berpotensi menjejaskan kepentingan serta kedaulatan Indonesia, kebimbangan kami sebelum ini adalah berasas.
"Namun, ketika Indonesia mengambil pendirian menilai kembali beberapa terma perjanjian, Kerajaan Madani dalam kenyataan pada Rabu lalu, sebaliknya menolak desakan agar rundingan semula dilakukan dengan Amerika, walaupun jelas beberapa terma perjanjian bukan sahaja mengikat Malaysia tetapi meletakkan kedaulatan negara menjadi persoalan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Kata Hamzah, pihaknya daripada awal telah menyatakan kebimbangan terhadap beberapa terma terutamanya melibatkan artikel 3.3 dan 5.1 dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
"Kebimbangan ini saya telah suarakan secara tegas melalui siri kenyataan media, sidang akhbar, rapat umum dan menerusi sesi perbahasan di Parlimen.
"Teguran serupa juga dilaungkan Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang lain, ertinya PN daripada awal melihat ada sesuatu yang tidak kena dengan perjanjian ini," tambahnya.
Ahli Parlimen Larut itu berkata, PN mendesak kerajaan agar segera mengenal pasti terma-terma yang dianggap Indonesia sebagai bermasalah, mengikat atau berat sebelah dan mendedahkan kepada rakyat sama ada terma tersebut turut terkandung dalam perjanjian dengan Malaysia.
Tambah beliau, kerajaan dituntut untuk menilai kembali, mengkaji implikasi, dan mempertimbangkan rundingan semula sekiranya terma-terma tersebut boleh menjejaskan ruang dasar, kedaulatan ekonomi, ataupun kepentingan industri negara pada jangka masa panjang.
"Malaysia tidak boleh hanya menerima pujian daripada Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Scott Bessent sebagai 'good actor' tanpa memahami kos dan implikasi sebenar di sebaliknya.
"Kerajaan perlu menjelaskan secara telus kepada rakyat, apakah harga yang perlu dibayar untuk menjadi 'good actor' di mata Washington seperti dilaporkan Reuters? Di mana letaknya keutamaan dan kepentingan negara ketika keputusan itu dibuat?," ujarnya.
Ringkasan AI
- Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menggesa kerajaan meneliti penolakan Indonesia terhadap klausa perjanjian perdagangan dengan AS
- Hamzah menyebut pendirian Indonesia penting sebagai indikator impak perjanjian terhadap negara-negara ASEAN
- Mengutip Reuters, Indonesia menolak beberapa terma perjanjian dengan AS yang dianggap berpotensi menjejaskan kedaulatan Indonesia
- Hamzah daripada awal menyatakan kebimbangan terhadap terma perjanjian, melalui kenyataan media dan sesi parlimen
- Menuntut kerajaan mengenal pasti dan menilai kembali terma-terma perjanjian yang mungkin menjejaskan kedaulatan serta kepentingan ekonomi Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
