Guan Eng kemuka 10 tuntutan kepada PM

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Penasihat DAP, Lim Guan Eng mengemukakan 10 tuntutan yang dianggap beliau sebagai perkara nasional penting kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi lima muka surat yang dialamatkan kepada Anwar, Ahli Parlimen Bagan dan bekas Menteri Kewangan itu meletak tajuk 'Menunaikan Janji Membela Hak Penyokong Pakatan Harapan (PH), Negeri Sabah dan Sarawak Serta Segera Melaksanakan Janji Manifesto PH Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)'.
"Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas dan memohon maaf atas ketidakhadiran saya dalam mesyuarat Majlis Presiden PH minggu ini.
"Kini krisis keyakinan terhadap kerajaan dalam kalangan penyokong PH yang hanya boleh dipulihkan dengan penggubalan dasar-dasar kerajaan yang baharu yang menjaga kepentingan mereka tanpa merugikan manfaat mana-mana golongan rakyat Malaysia," tulisnya.
Dalam senarai 10 perkara dinyatakan Guan Eng, beliau menegaskan bahawa janji manifesto PH pada PRU15 perlu ditunaikan dengan menegaskan, sebagai pemegang amanah kepada pengundi, tidak ada jalan lain kecuali jalan terus melaksanakan janji Manifesto PH dengan segera.
Ia diikuti dengan syor kerajaan menyalurkan peruntukan 10 peratus kepada bukan Bumiputera berbanding peruntukan Bumiputera, tanpa mengurangkan peruntukan kepada Bumiputera.
"Memang wujud perasaan tidak puas hati bahawa peruntukan bukan Bumiputera tidak ditambah sebaliknya berkurangan sekiranya dibandingkan dengan kerajaan sebelum ini khususnya dalam sektor pendidikan dan ekonomi.
"Tidak ada sebarang bantahan daripada masyarakat bukan Bumiputera terhadap apa yang diperuntukkan kepada golongan Bumiputera, tetapi pemberian geran masa kini sebanyak tiga peratus kepada bukan Bumiputera berbanding dengan jumlah yang diperuntukkan kepada golongan Bumiputera dalam belanjawan ataupun Rancangan Malaysia Ke-15 (RMK15) adalah terlalu kecil," tambahnya.
Perkara ketiga, Guan Eng menuntut kerajaan mengkaji semula peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas perniagaan Malaysia.
Ini kerana menurutnya, peranan perindustrian kecil dan sederhana (PKS) dalam negara tidak boleh dinafikan dengan sumbangan 38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang ingin dinaikkan kepada 40 peratus menjelang 2030 dan menjana 48 peratus pekerjaan negara serta hampir 13 peratus daripada jumlah eksport Malaysia.
Beliau seterusnya mengesyorkan kerajaan mewajibkan pembelian 50 peratus barangan keperluan daripada pengeluar tempatan, selain mengenakan 10 peratus SST bagi bijih besi import dan tempatan, arang batu kok metalurgi, kok (imported and local iron ore, metallurgical coking coal, coke) serta pemansuhan SST ke atas besi buruk demi melindungi industri tempatan.
Perkara kelima, Guan Eng mengesyorkan kerajaan memperuntukkan RM20 bilion bayaran cukai tertunggak pada Januari 2026 kerana keputusan menambah peruntukan bayaran balik cukai tertunggak daripada RM2 bilion kepada RM4 bilion disifatkannya belum cukup kerana masalah bayaran cukai tertunggak adalah dalam lingkungan puluhan bilion ringgit.
Beliau seterusnya menyarankan pembekuan caruman dua peratus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing dan majikan mereka yang dilihat membebankan.
Selain itu tidak mengenakan cukai dua peratus pendapatan dividen melebihi RM100,000 ke atas syarikat bukan entiti tersenarai dalam Bursa Malaysia atau perniagaan rakan kongsi.
Syor ketujuh, pemansuhan penalti RM10,000 mengikut Seksyen 45F Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dalam Dewan Negara juga perlu dilakukan ke atas kegagalan majikan memaklumkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebarang kekosongan jawatan atau pewujudan jawatan baharu.
Seterusnya, Guan Eng mengesyorkan tuntutan 40 peratus hasil Sabah mesti diselesaikan dalam masa singkat dan hak Sarawak mesti terus dijaga kerana isu tuntutan hasil Sabah menjadi salah satu isu utama dalam PRN baru-baru ini.
Sehubungan itu tegasnya, isu berkenaan mesti diselesaikan dan bayaran balik wang dibuat dalam masa singkat agar tidak dilihat sebagai sengaja dilengah-lengahkan oleh Kerajaan Persekutuan.
Perkara kesembilan, kerajaan perlu mengkaji pengecualian PKS daripada e-invois sementara menaikkan nilai ambang kepada hasil tahunan perniagaan sebanyak RM5 juta
"Semasa kajian dijalankan, langkah sementara ialah menaikkan nilai ambang kepada hasil tahunan perniagaan sebanyak RM5 juta. Ini harus disegerakan kerana peraturan e-invois akan dikuatkuasakan untuk hasil tahunan perniagaan antara RM1 juta ke RM5 juta mulai 1 Januari 2026," katanya.
Cadangan terakhir ialah penubuhan tribunal pembayar cukai individu dan PKS seperti tribunal pengguna bagi memberi keadilan kepada semua pihak.
"Pembayar cukai individu dan PKS sering membuat aduan bahawa mereka ditekan oleh penilaian taksiran yang tidak munasabah oleh Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN). Mereka rasa tidak bermaya kerana tidak mampu melawan LHDN dengan kos guaman yang begitu tinggi.
"Sungguhpun usaha LHDN menambah hasil untuk negara memang dihargai, ia perlu juga diseimbangkan dengan tindakan munasabah agar tidak berlaku akaun bank dibekukan dengan sewenang-wenangnya," ujarnya.
Ringkasan AI
- Penasihat DAP, Lim Guan Eng mengemukakan 10 tuntutan penting kepada PM Anwar Ibrahim
- Tuntutan itu termasuk menunaikan janji manifesto PH PRU15 dan memperuntukkan 10 peratus kepada bukan Bumiputera
- Mengkaji semula peluasan cukai SST pada perniagaan dan mewajibkan pembelian barangan tempatan
- Mengesyorkan kerajaan memperuntukkan RM20 bilion untuk bayaran cukai tertunggak pada Januari 2026
- Cadangan penubuhan tribunal pembayar cukai individu dan PKS untuk keadilan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

