Pemimpin dan pentadbir berintegriti, negara berdaulat: Menilai kesungguhan tatakelola di Malaysia

DALAM dunia pentadbiranyang dinamik pada hari ini, tatakelola yang baik bukan hanya satu slogan, tetapi menjadi faktor penentu kepada kejayaan sebuah negara.
Malaysia sedang berdepan dengan cabaransemasa yang menuntut pemimpindan pentadbir di semua peringkat untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar dan telus dalam memastikan pembangunan, kestabilan dan kesejahteraan masyarakat.
Kesungguhan dan keberkesanan tatakelola dalam kalangan pemimpin dan pentadbir di semua peringkat perlu diberi perhatian serius kerana setiap keputusan yang dibuat memberi kesan langsung kepada rakyat dan masa depan negara.
Dalam kontek sini, tatakelola yang baik di kalangan pemimpin dan pentadbir memainkan peranan kritikal dalam membina kepercayaan rakyat, menjamin kestabilan ekonomi, dan memastikan kelangsungan pembangunan negara.
Pemimpin dan pentadbir, sama ada dalam kerajaan atau agensi berkaitan, perlu menyedari bahawa kuasa adalah amanah, bukan keistimewaan.
Kesedaran ini mestilah menjadi pegangan dalam setiap keputusan yang dibuat. Keberkesanan pentadbiran bukan diukur melalui bilangan dasar yang diumumkan, tetapi sejauh mana dasar tersebut dilaksanakan dan diterjemahkan ke dalam tindakan dengan integriti, ketelusan dan kecekapan.
Ketiadaan integriti bukan sahaja menjejaskan kepercayaan rakyat, malah boleh memberi kesan negatif kepada ekonomi negara.
Apabila pemimpin dan pentadbir tidak berintegriti, keputusan dasar boleh dipengaruhi oleh kepentingan peribadi atau kronisme, sehingga menjejaskan pelaburan dan pertumbuhan ekonomi.
Ketirisan dalam pengurusan kewangan, ketidakcekapan dalam pelaksanaan projek pembangunan, dan penyalahgunaan kuasa boleh menyebabkan kerugian besar kepada negara.
Pelabur tempatan dan asing cenderung untuk hilang keyakinan apabila mereka melihat pentadbiran yang lemah, tidak telus dan mudah dipengaruhi oleh kepentingan individu.
Akibatnya, aliran modal berkurang, peluang pekerjaan terganggu yang akhirnya memberi kesan kepada pertumbuhanekonomi negara.
Ketelusan menjadi nilai asas untuk mengekalkan kepercayaan masyarakat dan pasaran. Setiap keputusan, pelantikan dan perolehan perlu melalui proses yang jelas dan bebas daripada konflik kepentingan.
Tanpa ketelusan, risiko penyelewengan meningkat dan kesan negatifnya meluas kepada ekonomi. Profesionalisme dalam pentadbiran juga amat penting.
Pemilihan kakitangan, kenaikan pangkat dan pembahagian tugas harus berdasarkan merit dan kelayakan. Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti, malah menutup ruang kepada penyelewengan dan amalan tidak adil yang boleh melemahkan sistem ekonomi dan pentadbirannegara.
Akauntabilitiadalahelemen lain yang tidak boleh diabaikan. Pemimpin dan pentadbir perlu bertanggungjawab terhadap setiap keputusan, bersedia menerima teguran dan memperbaiki kelemahan.
Tanpa akauntabiliti, kesilapan pentadbiran boleh berulang dan menjejaskan projek ekonomi, perolehan awam, serta pembangunan infrastruktur. Integriti pula menjadi benteng terakhir untuk memastikan sistem pentadbiran tidak mudah disalahgunakan.
Pemimpin yang jujur dan telus membantu memastikan setiap sumber negara digunakan dengan optimum, seterusnya menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Kepimpinan melalui teladan adalah kunci membina budaya organisasi yang sihat. Apabila pentadbir tertinggi menunjukkan disiplin, kejujuran, ketekunan dan kesungguhan, budaya itu akan mengalir ke seluruh organisasi.
Sistem kawal selia dalaman yang kukuh juga penting untuk mencegah penyelewengan dan memastikan setiap prosedur diikuti dengan tepat.
Selain itu, penglibatan warga awam dalam proses membuat keputusan menambah dimensi inklusif kepada tatakelola, menjadikan dasar lebih relevan dan responsif terhadap keperluan dan kepentingan harian masyarakat dalam semua aspek kehidupan termasuklah pendidikan, kesihatan, keselamatan dan ekonomi.
Dalam perspektif Islam, amanahpentadbiran adalah tanggungjawab besar. Firman ALLAH dalam Surah An-Nisa' ayat 58 menegaskan:
"Sesungguhnya ALLAH menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (ALLAH menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya ALLAH dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknyakepadakamu. Sesungguhnya ALLAH sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat".
Rasulullah SAW turut mengingatkan dalam hadisnya: "Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinannya." (Riwayat Bukhari & Muslim)
Kedua-dua petikan ini menekankan bahawa kepimpinan bukan keistimewaan, tetapi tanggungjawab yang harus dipikul dengan jujur dan penuh integriti.
Dalam ekosistemekonomi dan politik yang kompleks dan dinamik, Malaysia memerlukan pemimpin danpentadbir yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi berakhlak tinggi dan berintegriti.
Negara hanya boleh mencapai kestabilan dan kemajuan apabila tatakelola dipimpin oleh insan yang amanah, berdisiplin, dan berani menegakkan kebenaran walaupun tidak popular.
Kesimpulannya, tatakelola yang baik bermula dari pemimpin yang memegang nilai amanah, ketelusan, kecekapan, merit, akauntabiliti dan integriti.
Apabila pemimpin berintegriti, rakyat yakin, ekonomi stabil, pelabur percaya, dan negara bergerak ke arah kemajuan.
Sebaliknya, kepimpinan yang lemah dan tidak berintegriti memberi kesan langsung kepada kepercayaan rakyat, pelaburan, kestabilan pasaran dan pertumbuhan ekonomi.
Oleh itu, kesungguhan dan keberkesanan tatakelola bukansahaja tuntutan rakyat, tetapi juga sangat penting sebagai keperluan strategik demi masa depan Malaysia.
*Prof Dr Mohd Abdullah Haji Jusoh, Jabatan Pengurusan Lojistik dan PentadbiranPerniagaan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
