Penduduk terseksa hidup tanpa bekalan elektrik dan air

Penduduk Blok C Flat Seri Perantau di sini hidup dalam tekanan apabila tidak menerima bekalan elektrik selepas kebakaran mengejut di bilik sesalur elektrik flat itu pada Ahad lalu. Gambar kecil dari kiri, Kumaran, Azizul, Mohd Fadli, Azlan dan Sulaiman.
Penduduk Blok C Flat Seri Perantau di sini hidup dalam tekanan apabila tidak menerima bekalan elektrik selepas kebakaran mengejut di bilik sesalur elektrik flat itu pada Ahad lalu. Gambar kecil dari kiri, Kumaran, Azizul, Mohd Fadli, Azlan dan Sulaiman.
A
A
A

PELABUHAN KLANG – Kira-kira 600 penduduk Blok C Flat Seri Perantau terseksa tanpa bekalan elektrik selepas kebakaran mengejut melanda bilik sesalur elektrik (DB) flat itu sejak jam 4 pagi Ahad lalu.

Kejadian itu melumpuhkan rutin harian warga emas, pesakit dialisis dan keluarga dengan anak kecil hingga memaksa mereka bergelut demi kelangsungan hidup.

Seorang penduduk, Sulaiman Manan, 76, yang tinggal di tingkat tiga berkata, ketiadaan elektrik amat menyukarkan kerana dia bergantung kepada mesin oksigen setiap hari.

"Saya memang kerap alami sesak nafas dan bila tiada elektrik, dada mudah semput dan saya tak boleh buat apa-apa,” katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Sulaiman yang menetap berdua bersama isterinya berkata, keadaan kesihatannya tidak menentu dan masih menunggu bekalan asas itu dibaik pulih sepenuhnya.

"Saya tak berapa sihat, kalau kerap turun naik tangga, risau pula terjatuh atau pengsan," katanya.

Pesakit dialisis, S Kumaran, 51, pula memberitahu, ketiadaan elektrik menyebabkan lif flat gagal berfungsi sekali gus menyukarkan perjalanan ke pusat dialisis tiga kali seminggu.

"Selepas rawatan, badan pastinya rasa lemah, kaki sakit, naik tangga pun takut jatuh dan semua ini jadi lebih rumit kalau masalah ini berlarutan," ujarnya.

Zainon Idrus, 50, berkongsi kesukaran mengurus anak dan cucu sehingga terpaksa menyewa inap desa berdekatan.

Artikel Berkaitan:

"Saya ada cucu berusia dua bulan hingga tiga tahun, kami pula hendak mandi dan masak semuanya susah.

"Air pun terhad, hanya ada di dua lokasi sahaja untuk seluruh blok, maka saya ambil keputusan tinggal sementara di inap desa walaupun terpaksa menanggung kos tambahan," jelasnya.

Mohd Fadli Ahmad, 38, berkata, flat didiami ibunya yang berusia 73 tahun itu sebelum ini tidak pernah berdepan bekalan elektrik terputus dalam tempoh lama.

"Emak pula tak mahu tinggal di rumah anak-anak, jadi kami cuba sedaya upaya untuk selesaikan keperluan asas di rumah ini," katanya.

Menurut Azlan Mahad, 43, kebakaran DB berlaku secara tiba-tiba di tingkat tiga flat itu hingga mengakibatkan semua bekalan elektrik terputus.

"Saya difahamkan kos baik pulih dianggarkan mencecah RM100,000 dan sehingga kini masih menunggu kelulusan serta tindakan pihak pengurusan bangunan,” katanya.

Pengerusi Blok C Flat Seri Perantau, Azizul Anuar berkata, pihak pengurusan telah memanggil pemimpin penduduk dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyediakan bantuan sementara kepada mereka terjejas.

"Sebelum ini gangguan paling lama hanya dua hingga tiga hari, namun kali ini penduduk berdepan tempoh lebih panjang dan memerlukan sokongan segera," tambah beliau.

Beliau memaklumkan, kerja baik pulih pendawaian elektrik dijangka mengambil masa dua minggu, namun tarikh sebenar permulaan masih belum ditetapkan kerana isu kos dan kajian teknikal masih dibincangkan.

Sementara itu, Juruteknik Pengendali Pengurusan Bangunan, Sujono Masdi berkata, pihak syarikat yang mengendalikan pengurusan flat itu berusaha sedaya upaya menyelesaikan isu dibangkitkan penduduk.

"Perkara ini juga telah dimaklumkan kepada semua pihak terlibat bagi memastikan masalah dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Penduduk Blok C Flat Seri Perantau terseksa tanpa bekalan elektrik selama lima hari akibat kebakaran bilik sesalur elektrik
  • Warga emas, pesakit dialisis, dan keluarga dengan anak kecil terjejas sehingga mempengaruhi rutin harian
  • Ketiadaan elektrik menyukarkan pergerakan dan kehidupan harian, termasuk penggunaan mesin oksigen dan lif
  • Kos baik pulih bekalan elektrik dianggarkan mencecah RM100,000, masih menunggu kelulusan dan tindakan pengurusan
  • Pihak pengurusan flat dan badan bukan kerajaan berusaha menyediakan bantuan sementara, kerja baik pulih mungkin mengambil masa dua minggu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!