Pahang rangka strategi bayar pinjaman awal

Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN- Kerajaan Negeri Pahang merangka strategi jangka panjang termasuk ‘way forward’ yang membolehkan bayaran pinjaman dibuat lebih awal bagi mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman Kerajaan Persekutuan secara signifikan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, mulai 2027, kerajaan negeri merancang untuk membayar pinjaman yang sepatutnya dibayar pada tahun 2030.

Menurutnya, bayaran awal itu adalah langkah proaktif membuktikan bajet negeri mampan dan dirangka dengan visi jauh ke hadapan.

"Pada tahun 2024, kerajaan negeri telah membuat bayaran balik pinjaman berjumlah RM39.4 juta manakala RM61.2 juta tahun ini iaitu peningkatan sebanyak 55 peratus sekaligus menunjukkan kedudukan kewangan negeri semakin kukuh.

"Justeru dakwaan bahawa Belanjawan Negeri Pahang berada dalam keadaan defisit adalah tidak tepat sama sekali.

"Sebaliknya fakta kewangan yang sah, laporan audit, kedudukan tunai yang stabil serta kemampuan negeri mencatat lebihan operasi jelas membuktikan bahawa Pahang menguruskan kewangan rakyat dengan penuh integriti dan profesional," katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengulung perbahasan Belanjawan Pahang 2026 pada Sidang Dewan Negeri Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.

Wan Rosdy berkata, isu pinjaman negeri juga sering disalah tafsir.

Jelasnya, jumlah pinjaman keseluruhan hampir RM1 bilion bukan sahaja terdiri daripada pinjaman yang dibayar oleh negeri tetapi turut merangkumi pinjaman yang ditanggung agensi, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun negeri.

Artikel Berkaitan:

"Daripada jumlah tersebut, hanya RM755 juta yang melibatkan bayaran melalui Bajet Mengurus Negeri, manakala RM304 juta lagi ditanggung oleh agensi masing-masing.

"Ini termasuk pinjaman bagi projek air yang akan dinovasi, pinjaman Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) serta infrastruktur oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Rekod ini disahkan tepat dan selari dengan rekod Jabatan Akauntan Negara Malaysia sehingga November 2025," katanya.

Tambahan beliau, pinjaman itu bukan liabiliti semata-mata, tetapi merupakan pelaburan strategik untuk memacu pembangunan negeri.

"Di samping itu, kerajaan negeri juga menjadi pemberi pinjaman kepada agensi dan badan berkanun negeri di mana setakat ini RM46 juta telah dipinjamkan kepada pelbagai agensi dan badan berkanun negeri," ujarnya.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, kedudukan wang tunai negeri pada tahun 2024 berjumlah RM256.23 juta menurun berbanding RM384.07 juta pada tahun 2023.

Namun jelasnya, penurunan itu bukan tanda kelemahan kewangan sebaliknya berpunca daripada penurunan kutipan hasil bukan cukai, termasuk kompaun dan denda yang semakin berkurangan.

"Ini satu petanda positif bahawa tahap pematuhan undang-undang dalam kalangan rakyat semakin meningkat.

"Pengurangan hasil premium perhutanan pula menunjukkan komitmen kerajaan negeri terhadap kelestarian alam sekitar dan usaha mengurangkan kebergantungan kepada hasil sumber asli," katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga mengamalkan Bajet Berasaskan Keberhasilan yang memastikan setiap perbelanjaan memberi pulangan terbaik kepada rakyat.

"Melalui pendekatan ini, kerajaan negeri bukan sahaja dapat menampung kos operasi tanpa berhutang, tetapi juga mampu meneruskan pembangunan rakyat, menambah simpanan untuk masa hadapan serta melaksanakan pembayaran pinjaman secara tersusun dan berhemat," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!