Bunyi bising belakang rumah rupanya ular sawa 100kg

JASIN - Bunyi bising di kawasan belakang sebuah rumah di Kampung Sebatu Merlimau membawa kepada penemuan seekor ular sawa sepanjang 6.5 meter yang dianggarkan seberat kira-kira 100 kilogram pada malam Khamis.
Dalam kejadian sekitar jam 9 malam itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Jasin menerima panggilan kecemasan daripada seorang penduduk yang terlihat reptilia berkenaan berhampiran pokok durian di belakang rumahnya.
Susulan aduan tersebut, Pasukan Charlie APM Jasin yang diketuai Bazli Mhd Azib bersama tiga anggota bergegas ke lokasi pada jam 9.35 malam.

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Jasin Kapten (PA) Mohamad Fairul Asikin Kadir, pasukan tiba di lokasi pada jam 9.52 malam dan mendapati ular tersebut berada dalam keadaan agresif dan menyukarkan proses tangkapan.
“Ular itu bertindak ganas dan usaha menjerutnya agak mencabar namun dengan teknik serta kawalan rapi, anggota berjaya menangkapnya tanpa sebarang kecederaan kepada pasukan mahupun orang awam,” katanya pada Jumaat.
Katanya, operasi berakhir pada jam 10.05 malam selepas reptilia berkenaan berjaya ditangkap dengan selamat.
Ujarnya, ular sawa itu kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka untuk tindakan lanjut.
APM Jasin menasihatkan orang awam supaya tidak bertindak sendiri ketika berdepan situasi melibatkan haiwan liar atau reptilia berbahaya, sebaliknya segera menghubungi pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang risiko.
Ringkasan AI
- Bunyi bising di Kampung Sebatu Merlimau membawa kepada penemuan ular sawa sepanjang 6.5 meter
- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Jasin menerima panggilan kecemasan pada jam 9 malam
- Pasukan Charlie APM Jasin berjaya menangkap ular tersebut dalam keadaan agresif
- Operasi berakhir pada jam 10.05 malam dan ular diserahkan kepada Perhilitan Melaka
- APM Jasin nasihatkan orang awam hubungi pihak berkuasa ketika berhadapan situasi haiwan liar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

