Ingkar PKP, empat lelaki dituduh di mahkamah Isnin ini

No Image Caption
A
A
A

SEPANG - Empat lelaki akan didakwa di Mahkamah Sepang pada Isnin ini kerana ingkar mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kesemua suspek yang berusia antara 27 dan 36 tahun itu ditahan Rabu lepas dalam sekatan jalan raya yang dijalankan di Jalan Bandar Baru Salak Tinggi - Nilai.

"Pada Rabu lepas, kira-kira 8.30 malam, semasa pihak polis bersama tentera menjalankan sekatan jalan raya OPS Covid-19, telah menahan sebuah kereta jenis Proton Wira yang dinaiki tiga lelaki berusia antara 30 dan 36 tahun.

"Seorang lagi suspek berusia 27 tahun yang menaiki motosikal jenis Suzuki Smash 115 ditahan kira-kira 8.45 malam dalam sekatan jalan raya yang sama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat terhadap keempat-empat lelaki itu mendapati mereka tidak dapat memberi keterangan munasabah mengenai pergerakan mereka keluar dari rumah seperti arahan PKP.

Wan Kamarul Azran menasihati orang ramai supaya mematuhi pelaksanaan PKP yang dikuatkuasakan pada 18 Mac hingga 14 April depan dan menegaskan polis akan sentiasa membuat pemantauan dan rondaan bagi memastikan orang ramai mengikut arahan tersebut.

"Pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang didapati melanggar arahan tersebut," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: