Reformasi 6 bulan DAP: Cermin kegagalan sendiri, jangan salahkan PMX

Sathia Prakash sewaktu mengadakan mesyuarat Jabatan Pilihan Raya Negeri bagi PKR Selangor baru-baru ini.
Sathia Prakash sewaktu mengadakan mesyuarat Jabatan Pilihan Raya Negeri bagi PKR Selangor baru-baru ini.
A
A
A

KEKALAHAN menyeluruh DAP di lapan kerusi pada PRN Sabah ke-17 membuka episod baharu dalam dinamika dalaman parti itu.

Dalam mesyuarat tergempar pasca keputusan 29 November lalu, kepimpinan pusat parti itu berjanji mempercepat reformasi dalam tempoh enam bulan sebagai usaha memulihkan keyakinan awam.

Bagaimanapun, gesaan keras ini mengundang persoalan lebih besar: adakah ia benar-benar lahir daripada keinsafan politik atau sekadar tindak balas panik selepas tewas?

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bertegas memberi isyarat bahawa tempoh enam bulan adalah penentu masa depan parti dalam kerajaan.

“Dalam tempoh enam bulan akan datang, kerajaan mesti menunjukkan perubahan yang ketara dan menawarkan harapan, sekali gus mengubah persepsi negatif awam," kata Menteri Pengangkutan itu sebelum ini.

Beliau turut memberi amaran bahawa DAP akan menilai semula peranan dalam kerajaan sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal menunjukkan reformasi bermakna.

Timbalan Pengerusinya pula, Nga Kor Ming tanpa membuang masa turut berjanji DAP bakal menuntut Anwar mempertimbangkan semula cadangan pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang menjadi kontroversi sejak berdekad lamanya.

Bagi Pengarah Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPRN) Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan, beliau berpandangan menuding jari selepas kekalahan bukan jalan keluar.

Katanya, keputusan PRN Sabah adalah isyarat jelas penolakan rakyat terhadap gaya politik lama.

Artikel Berkaitan:

"Selepas PRU Sabah, kita dapat lihat dengan jelas bagaimana keputusan rakyat menjadi satu isyarat penting terhadap parti-parti politik.

"Ramai pengundi menghantar mesej bahawa mereka sudah penat dengan politik angkuh dan perbalahan dalaman," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Mengulas lanjut, Sathia Prakash turut menegaskan kesalahan tidak seharusnya diletakkan di bahu Perdana Menteri semata-mata pada saat Kerajaan Perpaduan secara realitinya beroperasi dalam landskap politik rapuh.

"Namun, malangnya masih ada pihak yang memilih untuk menuding kesalahan kepada YAB Perdana Menteri, kononnya reformasi tidak berjalan, perpaduan tidak kuat, atau kerajaan ‘tidak mendengar’.

"Hakikatnya, bukan mudah untuk YAB PMX (Datuk Seri Anwar) mengurus kerajaan perpaduan dalam suasana politik yang rapuh dan penuh tekanan," tegas beliau lagi.

Dr Sathia Prakash menambah, transformasi sedang berlaku walaupun tekanan politik semakin meningkat.

“Tetapi dalam keadaan ini juga, Malaysia semakin stabil, ekonomi mula pulih dan imej negara kembali dihormati di pentas dunia.

"Ini bukan perkara kecil ia transformasi yang berlaku dalam keadaan global tidak menentu," ujarnya.

Ulas beliau lagi, persepsi negatif rakyat terhadap parti bukan lahir daripada kegagalan reformasi, sebaliknya akibat keangkuhan sesetengah pemimpin.

"Persepsi rakyat terhadap parti sebenarnya lahir daripada sikap segelintir pemimpin yang masih mempamerkan kedegilan dan keangkuhan politik bukannya kegagalan reformasi.

"Jangan lupa penolakan rakyat lebih kepada gaya politik angkuh, bukan kerana PMX," tegasnya.

 RT Rajasekaran
RT Rajasekaran

Sementara itu, Ahli Kerja Pusat MIC, Datuk RT Rajasekaran menyifatkan gesaan enam bulan DAP sebagai pelik dan tidak konsisten.

"Enam bulan untuk apa sebenarnya? YB Loke, mengapa perlu menunggu enam bulan untuk menilai sama ada reformasi kerajaan akan berjaya atau tidak?

"DAP adalah parti terbesar dalam kerajaan. Mengapa hanya selepas tiga tahun baru timbul desakan untuk melaksanakan reformasi yang kalian sendiri janjikan? Banyak janji dalam manifesto kekal sekadar impian tanpa pelaksanaan yang jelas," ujarnya.

Rajasekaran turut membangkitkan pelbagai kelemahan dasar, komunikasi dan pentadbiran di kementerian-kementerian yang diterajui DAP termasuk kementerian disandang Anthony.

"Kini kamu menuding jari kepada Perdana Menteri dan mendakwa beliau tidak melakukan reformasi politik dengan pantas.

"Tetapi tidakkah kamu sedar bahawa kelemahan dasar, komunikasi, dan pentadbiran dalam kementerian-kementerian kamu sendiri menyumbang kepada kekalahan besar kerajaan di Sabah?" jelasnya.

Rajasekaran turut menyifatkan tindakan DAP sebagai bermotifkan politik, bukan perjuangan reformasi sebenar.

"Akhirnya, barulah wujud suara lantang daripada DAP mengenai reformasi, walaupun kalian sudah hampir tiga tahun berada dalam kelompok kepimpinan tertinggi negara.

"Ini bukan perjuangan demi kebenaran atau peningkatan taraf hidup rakyat. Ini hanyalah cubaan menutup kegagalan politik sendiri setelah tewas teruk di Sabah," tambah Rajasekaran.

 

 

Ringkasan AI

  • Kekalahan menyeluruh DAP di lapan kerusi PRN Sabah membuka episod baharu dalam dinamika dalaman parti
  • Kepimpinan pusat DAP berjanji mempercepat reformasi dalam tempoh enam bulan untuk memulihkan keyakinan awam
  • Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, memberi amaran akan menilai semula peranan dalam kerajaan jika reformasi bermakna gagal dilaksanakan
  • Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, menuntut Perdana Menteri mempertimbangkan cadangan pengiktirafan UEC
  • Keputusan PRN Sabah dianggap sebagai isyarat penolakan rakyat terhadap gaya politik lama dan angkuhan pemimpin

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!