Dikaitkan dengan aktiviti meragukan, Saloma KL nafi dakwaan berunsur fitnah Papagomo

Pihak pengurusan Saloma Kuala Lumpur menafikan dakwaan berunsur fitnah dilemparkan oleh Papagomo terhadap perniagaan mereka.
Pihak pengurusan Saloma Kuala Lumpur menafikan dakwaan berunsur fitnah dilemparkan oleh Papagomo terhadap perniagaan mereka.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan Saloma Kuala Lumpur menafikan dakwaan berunsur fitnah dilemparkan oleh blogger kontroversi, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo terhadap perniagaan mereka.

Pengurusan Saloma Kuala Lumpur dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, dakwaan mengaitkan nama Saloma Kuala Lumpur dengan aktiviti meragukan telah menimbulkan persepsi negatif terhadap operasi mereka.

“Individu tersebut telah mengaitkan Saloma Kuala Lumpur dengan beberapa aktiviti yang tidak benar dan memberikan gambaran negatif terhadap syarikat serta operasi kami,” jelas kenyataan itu.

Menurut Saloma Kuala Lumpur, video yang dimuat naik turut tular di Facebook dan TikTok, sekali gus mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pelanggan.

“Situasi ini telah menyebabkan kekeliruan dan kebimbangan orang awam, khususnya pelanggan setia kami,” menurut kenyataan sama.

Syarikat itu menegaskan bahawa semua tuduhan tersebut tidak berasas dan bermotif jahat.

“Kami menegaskan bahawa semua kenyataan yang dibuat dalam siaran langsung tersebut adalah palsu, tidak berasas dan bermotif jahat,” tegasnya.

Pengurusan Saloma Kuala Lumpur juga memaklumkan bahawa operasi mereka sentiasa mematuhi undang-undang negara.

Perbuatan mengaitkan syarikat itu dengan aktiviti pihak lain disifatkan Saloma Kuala Lumpur sebagai tindakan tidak bertanggungjawab yang menjejaskan reputasi.

Artikel Berkaitan:

“Tindakan ini telah menjejaskan integriti dan nama baik Saloma Kuala Lumpur,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, peguam syarikat telah diarahkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu terbabit.

“Kami tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang tindakan menfitnah dan kami sedang mengambil semua langkah undang-undang yang perlu,” menurut Saloma Kuala Lumpur.

Saloma Kuala Lumpur turut meminta orang ramai supaya tidak membuat penilaian berdasarkan dakwaan palsu yang tular.

“Kami menghargai sokongan pelanggan dan berharap orang ramai tidak membuat penilaian berdasarkan tuduhan tidak berasas,” tambah kenyataan itu.

Ringkasan AI

  • Pihak pengurusan Saloma Kuala Lumpur menafikan dakwaan berunsur fitnah oleh blogger Papagomo
  • Dakwaan tersebut mencetuskan persepsi negatif dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pelanggan
  • Video yang dimuat naik oleh Papagomo telah menjadi viral di Facebook dan TikTok
  • Saloma Kuala Lumpur menegaskan semua tuduhan adalah palsu, tidak berasas dan bermotif jahat
  • Peguam syarikat telah diarahkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Papagomo

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!