Polis tahan lelaki sebar video berunsur fitnah kes Zara Qairina

Jauteh
Jauteh
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis menahan seorang lelaki berusia 36 tahun yang disyaki terlibat dalam penyebaran video berunsur fitnah di Facebook berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada 13 September lepas mengenai penularan video tersebut.

"Video itu didakwa bukan sahaja mengandungi unsur fitnah malah turut mendedahkan identiti kanak-kanak serta menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar.

"Susulan laporan itu, polis menahan lelaki tersebut pada 5.40 petang 16 Sept lepas di sini bagi membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, turut dirampas daripada suspek dua telefon bimbit.

Jauteh berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 203A dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan.

"PDRM memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menyebarkan kenyataan berunsur fitnah, mengaibkan atau provokatif," katanya. - Bernama

 

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Polis menahan seorang lelaki berusia 36 tahun atas penyebaran video fitnah di Facebook berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir
  • Penahanan berlaku pada 16 September lepas
  • Video tersebut didakwa mengandungi unsur fitnah dan mendedahkan identiti kanak-kanak
  • Dua telefon bimbit dirampas dari suspek
  • Kes disiasat mengikut beberapa seksyen termasuk Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!