14 bahagian Bersatu Perak desak Muhyiddin undur - Zainol Fadzi

Zainol Fadzi (duduk, empat dari kanan) mengetuai sidang media bersama 14 ketua dan jawatankuasa bahagian Bersatu di Perak di sebuah hotel di Ipoh pada Rabu.
Zainol Fadzi (duduk, empat dari kanan) mengetuai sidang media bersama 14 ketua dan jawatankuasa bahagian Bersatu di Perak di sebuah hotel di Ipoh pada Rabu.
A
A
A

IPOH – Sejumlah 14 daripada 24 bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Perak tampil secara bersama mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur daripada jawatan Presiden demi masa depan parti itu.

Desakan berkenaan disuarakan Ketua Bahagian Bersatu Pasir Salak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang bertindak sebagai jurucakap kepada bahagian terlibat.

Menurutnya, permintaan itu dibuat kerana kegagalan Muhyiddin dalam menangani kemelut dalaman yang melanda parti ketika ini.

Jelasnya, perkara itu boleh diselesaikan dengan baik dan segera jika dikawal di peringkat awal.

"Presiden perlu mengawal perkara ini dengan lebih cermat umpama menarik rambut di dalam tepung. Rambut tidak terputus, tepung tidak berselerak.

"Kegagalan membendung perkara ini daripada awal menyebabkan ia semakin membengkak sekali gus menjejaskan imej Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu khasnya," katanya dalam sidang media khas di sebuah hotel di Ipoh pada Rabu.

Antara ketua dan jawatankuasa bahagian yang hadir ialah Tanjung Malim, Pasir Salak, Teluk Intan, Tapah, Kampar, Gopeng, Parit, Beruas, Ipoh Timur, Padang Rengas, Bukit Gantang, Bagan Serai, Larut dan Gerik.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sepetang, Ahmad Man; ADUN Batu Kurau, Datuk Mohd Najmuddin Elias; Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan.

Zainol Fadzi berkata, kepimpinan bahagian-bahagian Bersatu di Perak berpandangan bahawa parti perlu melalui proses penyegaran semula termasuk rejuvenasi kepimpinan untuk memastikan Bersatu terus diterima rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Artikel Berkaitan:

“Kami yang hadir pada hari ini bukan ahli biasa. Kehadiran pada hari ini adalah kepimpinan utama di bahagian-bahagian Bersatu Perak. Kehadiran hari ini adalah bahagian yang menyumbangkan kerusi DUN dan Parlimen dalam Pilihanraya Umum yang lepas bagi Bersatu dan PN.

"Parti ini perlu diperbaharui dan diremajakan. Jika tidak dilakukan sekarang, kami khuatir PRU16 nanti Bersatu akan ditolak di semua kawasan yang ditandingi,” katanya

Menurutnya, pimpinan bahagian menghormati Muhyiddin sebagai presiden pengasas parti, namun faktor usia, isu peribadi serta kes mahkamah yang belum selesai dilihat bakal menjadi liabiliti kepada parti dan PN.

Beliau menggesa Muhyiddin menggunakan baki beberapa minggu terakhir 2025 untuk bermuhasabah dan meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan lain.

“Tan Sri boleh menjadi pemimpin berjiwa besar dengan berundur secara terhormat. Kami tidak mahu melihat Tan Sri menjadi ‘Najib Razak versi Bersatu’,” katanya yang juga ADUN Sungai Manik.

Beliau turut mendedahkan desakan itu turut tercetus susulan tindakan yang dianggap tidak adil terhadap seorang Ketua Bahagian Bersatu Perak yang diambil tindakan disiplin.

Zainol turut mengakui bimbang keadaan Bersatu akan menjadi semakin tidak menentu jika pertikaian dalaman berlarutan.

“Saya lagi risau keadaan sekarang. Macam-macam cerita, ramai lagi nak kena pecat.

"Kalau tak dihentikan, apa yang akan tinggal? Kami masih bertahan sebab sayangkan Bersatu,” ujarnya.

 

 

Ringkasan AI

  • 14 bahagian Bersatu di Perak mendesak Muhyiddin Yassin berundur dari jawatan Presiden
  • Desakan tersebut disuarakan sehubungan dengan kegagalan Muhyiddin menangani kemelut dalaman parti
  • Kepimpinan Bahagian Bersatu di Perak berpandangan parti memerlukan penyegaran termasuk rejuvenasi kepimpinan menjelang PRU16
  • Muhyiddin dilihat sebagai liabiliti kerana faktor usia, isu peribadi dan kes mahkamah yang belum selesai
  • Desakan untuk Muhyiddin berundur juga tercetus susulan tindakan yang dianggap tidak adil terhadap seorang Ketua Bahagian Bersatu di Perak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!