Jangan terburu-buru meminda Akta SOSMA

JAWATANKUASA Pilihan Khas Parlimen Mengenai Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi (JPKP) mencadangkan beberapa pindaan terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Dalam Negeri menyemak Akta Sosma selepas Kabinet secara prinsip bersetuju bahawa undang-undang itu memerlukan penambahbaikan.
Antaranya cadangan JPKP ialah menggesa kerajaan mengkaji semula Seksyen 4(5), iaitu peruntukan melibatkan penahanan selama 28 hari tanpa semakan kehakiman.
Selain itu, turut disyorkan agar mahkamah mempunyai kuasa budi bicara mahkamah dalam aspek reman, jamin dan perbicaraan bagi menjamin keseimbangan di antara kepentingan keselamatan negara dengan hak asasi individu.
Namun, penulis tidak setuju bahawa kerajaan perlu mengkaji semula peruntukkan yang sediaada dibawah seksyen 4(5) mahupun tahanan dilepaskan dengan syarat pemakaian Electronic Monitoring Device (EMD).
Mengikut subseksyen 4(9), pegawai polis yang menjalankan penyiasatan itu hendaklah mengemukakan kertas siasatan kepada Pendakwa Raya pada hari ke 21 tahanan ditahan.
Ini bermakna pihak polis sebenarnya mempunyai masa yang pendek, iaitu hanya 20 hari sahaja untuk membuat siasatan.
Ini jauh berbeza daripada ISA yang tempoh tahanan dibenarkan selama 60 hari.
Kesalahan-kesalahan yang disenaraikan dalam Akta SOSMA adalah kesalahan cukup serius dan mempunyai dampak kepada keselamatan negara, sebagai contoh kesalahan berkenaan dengan keganasan dan jenayah terancang, yang sudah pasti memerlukan siasatan rapi, menyeluruh dan lebih lama.
Adalah hampir mustahil sebagai contoh kesalahan terrorisme, yang memerlukan siasatan yang kadang-kadang melibatkan pelbagai agensi keselamatan dalam dan luar negara boleh dijalankan dan disiapkan dalam masa 14 hari seperti peruntukkan dalam Kanun Acara Jenayah.
Pemegang taruh yang penting menjaga keselamatan negara adalah polis dan polis wajar mempunyai masa yang munasabah dan cukup untuk menjalan siasatan dan bukannya berkejar masa menyiapkan siasatan yang akhirnya lemah dan penuh kelompangan.
Di Indonesia, selepas pengeboman Bali, Hotel Marriot serta Gereja Surabaya dan kejadian-kejadian aksi terrorisme yang lain, kerajaan Indonesia telah menggubal beberapa undang-undang yang kemudian telah dipinda beberapa kali berkenaan dengan penahanan mereka yang terlibat dalam terrorisme.
Hari ini seorang boleh ditahan selama 270 hari dan di India, di bawah National Security Act, seorang boleh ditahan 30 hari tanpa memberikan apa-apa sebab untuk penahanan.
Terdapat 73 kesalahan di bawah Akta SOSMA. Apa yang perlu ialah untuk menyemak kembali kesalahan mana yang patut kekal sebagai kesalahan di bawah SOSMA, kesalahan mana yang boleh dan tidak boleh dijamin atas budibicara mahkamah.
Pada masa yang sama disarankan patut ada takrifan jelas apa yang dimaksudkan sebagai ‘ancaman kepada negara’ dan kesalahan mana yang wajar diklasifikadikan secara khusus sebagai kesalahan dibawah Akta SOSMA.
Apa yang perlu adalah penambah-baikan kepada Akta SOSMA, sebagai contoh patut ada takrifan jelas apa yang dimaksudkan sebagai “ancaman kepada negara” dan bukannya pemansuhan akta tersebut atau memendekkan waktu siasatan.
Apapun pada Julai 2022, Dewan Rakyat telahpun meluluskan usul untuk melanjutkan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk tempoh lima tahun lagi. Tiada keperluan untuk tergesa -gesa untuk membuat pindaan kepada Akta Sosma.
* Norman Fernandez ialah seorang peguam dan penulisan ini adalah pandangan peribadi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
