Exco Terengganu potong gaji untuk Tabung Covid-19

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu melancarkan Tabung Bantuan Covid-19 Terengganu untuk membantu golongan yang terjejas akibat wabak pandemik berkenaan di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebagai sumbangan permulaan, beliau dan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu (Exco) akan membuat pemotongan 50 peratus daripada dua bulan gaji untuk tabung berkenaan.

Menurutnya, inisiatif itu diambil kerana menyedari tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan memberi impak yang lebih besar kepada sosioekonomi rakyat negeri ini.

"Penubuhan tabung ini juga bagi membuka peluang kepada semua rakyat yang prihatin, penderma korporat dan syarikat swasta untuk turut menyumbang.

"Saya merayu dan berbesar hati supaya semua pihak dapat memberikan sumbangan bagi menunjukkan semangat kesatuan dan kecaknaan kita bersama.

"Semoga dengan sedekah dan sumbangan daripada penderma yang ikhlas akan diberikan ganjaran oleh ALLAH SWT," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, sumbangan boleh disalurkan melalui Akaun Bank Islam Malaysia Berhad bernombor 13017010034566 atas nama Tetuan Akauntan Negeri Terengganu.

Setiap sumbangan katanya, layak mendapat potongan cukai mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Artikel Berkaitan:

Sebarang persoalan boleh hubungi Sekretariat Tabung Darul Iman di talian 09-6233535 atau layari http://stdi.terengganu.gov.my.