Tun M dakwa kerajaan tidak dedah kandungan sebenar perjanjian dengan AS

Tun Dr Mahathir ketika sidang akhbar Seketeriat Orang Melayu di sini pada Rabu
Tun Dr Mahathir ketika sidang akhbar Seketeriat Orang Melayu di sini pada Rabu
A
A
A

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa kerajaan tidak mendedahkan sepenuhnya kandungan perjanjian yang dibuat bersama Amerika Syarikat (AS), termasuk elemen berkaitan ketenteraan serta dasar luar negara kuasa besar itu.

Beliau mendakwa, maklumat terbaharu yang diterimanya menunjukkan keputusan yang dibuat kerajaan bersama Washington sebenarnya 'lebih berbahaya daripada yang disangka', malah menggambarkan kedudukan Malaysia seolah-olah menjadi satelit kepada AS.

"Kerajaan menandatangani perjanjian pertahanan ini empat hari selepas Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dimeterai, jadi kita mahu tanya kepada kerajaan kenapa tidak diumumkan isi kandungan mensyuarat ini kerana ia mempunyai kesan yang amat buruk kepada negara,” katanya ketika sidang akhbar Sekretariat Orang Melayu di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini pada Rabu.

Dr Mahathir menegaskan rakyat berhak mengetahui kandungan penuh perjanjian tersebut bagi membolehkan mereka menilai implikasinya terhadap kepentingan negara.

“Kita nak tahu apa isi kandungannya supaya kita dapat membuat keputusan apa tindakan yang rakyat perlu suarakan,” katanya.

Malaysia dan AS menandatangani perjanjian kerjasama dalam bidang pertahanan pada 30 Oktober lalu bagi memperkukuh hubungan ketenteraan dan keselamatan antara dua negara.

Perjanjian dimeterai antara Setiausaha Perang Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Mohamed Khaled berkata, perjanjian itu dilaksanakan melalui satu kerangka persefahaman yang lebih kukuh, formal dan berstruktur.

Melalui kerjasama itu juga, tentera negara akan melaksanakan latihan, program pertukaran pegawai dan peningkatan keupayaan pegawai pertahanan melalui program dengan sokongan AS.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!