Ladang FGV: Putrajaya telah lunaskan semua keperluan kewangan

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Kerajaan Persekutuan menegaskan bahawa semua keperluan kewangan berkaitan isu tanah di 10 ladang milik FGV Holdings Berhad (FGV) di Terengganu telah dilunaskan lebih awal dan kini menunggu tindakan lanjut daripada Kerajaan Negeri bagi memastikan proses penyelesaian berjalan lancar.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.
“Jemaah Menteri dimaklumkan bahawa semua keperluan berkaitan tanah yang mempunyai pertikaian dengan kerajaan negeri telah dibayar sebelum ini, namun terdapat beberapa perkara yang belum disusuli.
“Petang ini, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dijadualkan mengadakan perbincangan dengan kerajaan Terengganu untuk memastikan segala yang telah dilunaskan oleh kerajaan Persekutuan disusuli dengan tindakan lanjut. Ini sangat penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA), di sini, pada Jumaat.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, dan turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; serta Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Terdahulu, kerajaan Terengganu telah menghantar notis kepada enam Ahli Lembaga Pengarah FGV berhubung isu tanah ladang yang diusahakan syarikat berkenaan atas tanah milik kerajaan negeri.
Notis Amaran Pendudukan Secara Tidak Sah di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) itu dihantar pada Rabu melalui pos berdaftar dan e-mel, selepas FGV didapati terus mengusahakan tanah tersebut tanpa kebenaran sah, walaupun tempoh mencukupi telah diberikan bagi tujuan rundingan.
Kesemua 10 ladang terbabit terletak di Setiu, Marang, Dungun dan Kemaman, dan merupakan tanah milik kerajaan negeri yang sepatutnya diuruskan berdasarkan perjanjian serta syarat asal yang telah ditetapkan.
Dalam perkembangan lain, Fahmi turut memaklumkan bahawa Kabinet merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meninggal dunia pada awal pagi Jumaat.
Selain itu, Jemaah Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick yang meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet.
Ringkasan AI
- Kerajaan Persekutuan telah melunaskan semua keperluan kewangan berkaitan isu tanah di 10 ladang FGV di Terengganu
- Timbalan Perdana Menteri mengumumkan perkara tersebut dalam mesyuarat Jemaah Menteri
- Terdapat beberapa isu susulan yang belum diselesaikan dengan Kerajaan Terengganu
- Kerajaan Terengganu telah menghantar notis amaran kepada enam Ahli Lembaga Pengarah FGV berhubung isu tanah
- Kesemua 10 ladang terlibat adalah tanah milik kerajaan negeri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

