Pekerja kilang curi 12 tin bir dipenjara dua bulan

Muhamad Zulhilmi (dua dari kanan) dan Muhammad Shahirul Azri dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Melaka pada Rabu.
Muhamad Zulhilmi (dua dari kanan) dan Muhammad Shahirul Azri dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Melaka pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Seorang pekerja kilang dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah mencuri 12 tin bir di sebuah kedai serbaneka. 

Tertuduh, Muhamad Zulhilmi Sholehat, 31, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Zulhilmi bersama seorang lagi individu, Muhammad Shahirul Azri Mohd Shamsuri, 29, didakwa melakukan kecurian di sebuah kedai 99 Speedmart di Jalan Ong Kim Wee pada 3 Disember 2025, jam 2.10 petang.

Mereka didakwa telah mencapai niat dengan mencuri 12 tin bir bernilai RM83.80 milik kedai serbaneka berkenaan. 

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Muhammad Shahirul Azri mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.

Timbalan Pendakwa Raya Syauqi Mardia Baharudin memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kerugian yang dialami premis berkenaan.

Dalam rayuannya, Muhamad Zulhilmi yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan kerana baru memulakan pekerjaan di sebuah kilang.

“Saya hidup sebatang kara. Saya sedar kesalahan dilakukan tetapi ketika itu saya buntu. Saya ambil bukan untuk minum tetapi untuk dijual bagi sara makan minum dan tempat tinggal,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Muhammad Shahirul Azri turut merayu agar kadar jaminan dikurangkan kerana tiada ibu bapa sebaliknya hanya mempunyai dua beradik.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM3,500 terhadap Muhammad Shahirul Azri dan tarikh sebutan 5 Februari depan manakala Muhamad Zulhilmi dijatuhi hukuman penjara dua bulan.

Dalam pada itu, kedua-dua tertuduh turut berdepan pertuduhan lain membabitkan penyalahgunaan dadah.

Ringkasan AI

  • Muhamad Zulhilmi Sholehat dijatuhi hukuman penjara dua bulan kerana mencuri 12 tin bir
  • Muhammad Shahirul Azri Mohd Shamsuri, rakan sejenayah, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan
  • Kecurian dilakukan di kedai 99 Speedmart, Jalan Ong Kim Wee, pada 3 Disember 2025
  • Kesalahan mencuri 12 tin bir bernilai RM83.80, boleh membawa hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda
  • Kedua-dua tertuduh juga berdepan pertuduhan penyalahgunaan dadah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!