Keluarga tiga individu ditembak di Durian Tunggal hadir beri keterangan di Bukit Aman

KUALA LUMPUR - Keluarga tiga individu yang ditembak mati polis pada 24 November lepas di Durian Tunggal, Melaka hadir ke Bukit Aman hari ini bagi dirakam kenyataan.
Keluarga tiga individu dilihat memasuki Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada jam 10:45 pagi.
Peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili keluarga itu berkata, seorang daripada ahli keluarga turut membawa telefon bimbit yang digunakan merakam audio insiden berkenaan untuk diserahkan kepada pasukan penyiasat khas yang ditubuhkan.
Pada 24 November lepas, tiga lelaki berusia 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka didakwa melibas parang ke arah seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.
Kejadian pada 4.30 pagi itu menyebabkan anggota polis berpangkat koperal berusia awal 30-an cedera parah pada lengan kiri.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar dilaporkan berkata, kesemua suspek daripada Geng Durian Tunggal itu dipercayai dalam perjalanan untuk menyamun sebuah premis dan aktif melakukan jenayah sejak 2024, membabitkan 20 kes di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan kerugian RM1.35 juta.
Bagaimanapun pada 3 Disember lepas, ahli keluarga tiga suspek berkenaan menolak dakwaan bahawa mangsa bertindak ganas dengan menyerang pasukan keselamatan.
Susulan itu pada 4 Diser, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, pihaknya menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat dakwaan ahli keluarga tiga suspek lelaki terbabit yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis. - Bernama
Ringkasan AI
- Keluarga tiga individu yang ditembak mati oleh polis hadir ke Bukit Aman untuk dirakam kenyataan
- Mereka membawa telefon bimbit yang merakam audio insiden tersebut untuk diserahkan kepada penyiasat
- Tiga lelaki didakwa menyerang polis dengan parang di Durian Tunggal, Melaka
- Seorang anggota polis cedera parah akibat serangan itu
- Pasukan khas ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan keluarga suspek yang menolak tindakan polis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
