Penganjur wajib batal kemenangan

SHAH ALAM – Kemenangan atau anugerah mana-mana penulis atau syarikat penerbitan wajib dibatalkan jika terbukti terlibat dalam isu plagiat
Novelis thriller tersohor tanah air, Ramlee Awang Murshid berkata, tindakan tegas itu penting bagi memulihkan integriti industri penulisan yang semakin tercemar akibat perbuatan menciplak karya kreatif orang lain untuk mendapatkan keuntungan mudah.

Beliau berkata, isu plagiat sudah lama berakar umbi sejak era penerbitan tahun 1990-an dan awal 2000, ketika kawal selia hak cipta karya masih dilakukan secara manual.
Namun katanya, meskipun beberapa laporan pernah dibuat, tiada satu pun kes dibawa ke mahkamah atau disiasat secara serius sehingga menyebabkan kegiatan itu terus berleluasa tanpa kawalan.
“Kami para penulis hanya mampu bimbang kerana tiada tindakan undang-undang. Pelaku bebas berbuat sesuka hati,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai luahan peguam harta intelek dikenali sebagai Iman Danial Hakim yang mempersoal bagaimana seorang penulis buku didakwa ‘kaki ciplak’ boleh memenangi dua anugerah dalam Anugerah Buku Negara di sebuah acara buku berprestij pada 3 Disember lalu.
Penulis novel berusia 58 tahun itu berkata, bukan mudah untuk seorang penulis menghasilkan karya, terutama novel yang mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan, namun akhirnya ditiru dengan begitu mudah oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Ini antara sebab mengapa ada penulis berputus asa dan enggan berkarya lagi kerana tidak sanggup berhadapan dengan isu seperti ini,” ujarnya.
Anak kelahiran Sabah itu turut mendedahkan bahawa ada penerbit yang terpaksa gulung tikar apabila buku terbitan mereka yang mencatat jualan tertinggi sebelum ini diplagiat dengan mudah oleh pihak lain.
“Sebagai contoh, novel yang saya hasilkan bukan mudah. Banyak masa dihabiskan untuk memastikan karya thriller terus diminati,” katanya yang sudah menerbitkan lebih 50 judul novel.
Antara karya popular beliau di bawah Grup Buku Karangkraf ialah siri epik Laksamana Sunan seperti Bagaikan Puteri, Hijab Sang Pencinta dan Cinta Sang Ratu, selain novel thriller fenomena Tombiruo, Mandatori, Azazil, Mikhail dan Fiksyen 302.
Mengulas lanjut beliau mendedahkan, ada pihak yang tanpa segan silu mengambil keseluruhan karya termasuk nama penulis asal untuk dicetak semula secara haram, malah ada yang menggunakan cop kebenaran palsu bagi mengaburi pembeli.
Katanya, tindakan itu amat memalukan terutama apabila karya tiruan diangkat sebagai karya negara atau diberikan pengiktirafan tertentu.
“Plagiat ini haram. Kalau seseorang sanggup ambil hasil titik peluh orang lain, itu perbuatan yang sangat memalukan,” katanya.
Ramlee berkata, kelemahan penganjur atau badan penilai yang tidak tegas turut menggalakkan kegiatan tersebut, sekali gus merosakkan ekosistem penulisan negara.
Dalam beberapa kes katanya, individu dipercayai memplagiat karya enggan menjawab panggilan, tidak berani tampil dan mengelak pertemuan walaupun dipelawa berbincang secara baik.
Beliau menegaskan dirinya tidak pernah menghalalkan mana-mana pihak yang menciplak karyanya dan yakin perbuatan itu akan menerima balasan sewajarnya.
“Selagi tiada keberanian untuk bertindak, isu ini akan terus merebak seperti virus tanpa kawalan. Jika ada bukti plagiat, batalkan kemenangan atau penerbitan. Itu sahaja caranya menjaga maruah industri,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Kemenangan atau anugerah harus dibatalkan jika terbukti terlibat dalam isu plagiat
- Tindakan tegas perlu untuk memulihkan integriti industri penulisan yang tercemar
- Plagiat sudah berakar umbi sejak era 1990-an dan awal 2000
- Penulis dan penerbit menghadapi kerugian akibat karya yang diplagiat
- Perlu ada tindakan undang-undang yang lebih ketat untuk mengatasi isu plagiat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

