‘Mahkamah siber’ ancaman baharu keadilan negara

Fenomena ‘mahkamah siber’ atau trial by social media kini menjadi cabaran serius kepada institusi kehakiman negara. Gambar hiasan.
Fenomena ‘mahkamah siber’ atau trial by social media kini menjadi cabaran serius kepada institusi kehakiman negara. Gambar hiasan.
A
A
A

FENOMENA ‘mahkamah siber’ atau trial by social media kini menjadi cabaran serius kepada institusi kehakiman negara apabila masyarakat semakin mudah membuat penghakiman awal terhadap individu atau kes tertentu sebelum mahkamah membuat keputusan rasmi.

Kebebasan bersuara dalam era digital memberi ruang kepada warganet untuk melabel, menghakimi, malah menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, hakim dan pihak berkaitan tanpa memahami fakta sebenar kes.

Walaupun media sosial menyediakan platform perkongsian maklumat, budaya menghakimi tanpa fakta berisiko menjejaskan persepsi awam terhadap mahkamah dan merosakkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan tonggak utama negara hukum.

Jika tidak dibendung, ia boleh mencetuskan salah faham awam serta menjejaskan kewibawaan badan kehakiman.

Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh menegaskan, tindakan menghukum sebelum perbicaraan bermula atau sebelum saksi pertama memberikan keterangan adalah berbahaya.

“Seharusnya kita membiarkan proses kehakiman berjalan secara teratur. Biarlah pihak pendakwaan mengemukakan keterangan, peguam bela mencabarnya dan hakim membuat keputusan berdasarkan undang-undang serta fakta.

"Kecenderungan menjatuhkan hukuman dengan mendahului mahkamah boleh menyebabkan mereka dikenakan perintah menghina mahkamah,” katanya.

Beliau mengingatkan bahawa setiap pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah mempunyai saluran sah untuk membuat rayuan, bukannya melontarkan komen keterlaluan di media sosial.

Beliau turut menasihati masyarakat supaya mengelakkan komen berbentuk penghinaan terhadap hakim atau pihak lain kerana boleh menjejaskan kewibawaan institusi kehakiman.

Artikel Berkaitan:

“Jika mahu memahami dan mengkritik secara bertanggungjawab, pelajari undang-undang dan fahami prosesnya. Jangan terburu-buru menjatuhkan hukuman di alam maya,” ujar Wan Ahmad Farid.

Beliau menyampaikan nasihat itu pada sesi soal jawab selepas menyampaikan Syarahan Perdana Ketua Hakim Negara bertajuk ‘Hakim Sebagai Pembina Negara: Menggabungkan Bakat, Ilmu dan Nilai dalam Memartabatkan Keadilan’ di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.

Program itu anjuran Fakulti Undang-Undang UiTM dengan kerjasama Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dan disertai 444 pelajar tahun akhir Fakulti Undang-Undang UiTM.

Turut hadir, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi; tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Azimah Omar; serta Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin.

Fenomena ‘mahkamah siber’ ini menjadi peringatan jelas bahawa masyarakat perlu lebih bijak dan bertanggungjawab dalam mengkritik kes undang-undang, agar kewibawaan institusi kehakiman dapat dipelihara dan keadilan sebenar dapat ditegakkan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!