Malaysia kecam tindakan Israel ceroboh pekarangan UNRWA di Baitulmaqdis Timur

SHAH ALAM - Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan haram tentera Israel menceroboh premis Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) di Baitulmaqdis Timur.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan berkata, ia termasuk merampas harta benda Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menurunkan bendera PBB.
"Tindakan Israel ini jelas mencabul undang-undang antarabangsa, termasuk Piagam PBB, Konvensyen PBB Mengenai Keistimewaan dan Kekebalan 1946, serta resolusi-resolusi PBB berkaitan perlindungan petugas dan operasi kemanusiaan.
"Perkara ini turut ditegaskan dalam Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa bertarikh 22 Oktober 2025," ujarnya pada Selasa.
Pada 8 Disember 2025, polis Israel bertindak menurunkan bendera PBB di dalam kompleks UNRWA di Baitulmaqdis Timur yang diduduki, sebelum menaikkan bendera Israel sebagai ganti.
Menurut Pesuruhjaya Jeneral UNRWA, Philippe Lazzarini menerusi platform X, polis Israel bersama pegawai majlis perbandaran telah memasuki kompleks UNRWA secara paksa pada awal pagi, lengkap dengan motosikal polis, trak serta forklift.
Tambah Wisma Putra, UNRWA merupakan talian hayat untuk jutaan rakyat Palestin di Wilayah Palestin Yang Diduduki dan pelarian Palestin.
Jelas kenyataan itu, Malaysia turut menegaskan bahawa sebarang tindakan untuk menghalang, menafikan mandat atau membubarkan operasi agensi tersebut menyalahi undang-undang dan tidak boleh diterima.
"Sejak penubuhannya, UNRWA telah membantu lebih daripada 5.9 juta pelarian Palestin di seluruh Timur Tengah dengan menyediakan perkhidmatan kritikal dalam bidang pendidikan, perubatan dan bantuan kemanusiaan, terutamanya ketika situasi konflik yang meruncing.
"Malaysia menyeru agar masyarakat antarabangsa mengenakan akauntabiliti terhadap Israel atas pencabulan undang-undang antarabangsa secara berterusan," ujarnya.
Ringkasan AI
- Malaysia mengecam tindakan haram tentera Israel menceroboh premis UNRWA di Baitulmaqdis Timur
- Tindakan Israel mencabul undang-undang antarabangsa termasuk Piagam PBB dan Konvensyen PBB
- Pada 8 Disember 2025, polis Israel menurunkan bendera PBB dan menaikkan bendera Israel UNRWA merupakan talian hayat bagi jutaan rakyat dan pelarian Palestin
- Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa mengenakan akauntabiliti terhadap Israel atas pencabulan undang-undang antarabangsa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


