Sekatan Israel terhadap petugas bantuan Gaza jejaskan misi kemanusiaan - PBB

PBB terus menggesa akses tanpa halangan terhadap barangan dan perkhidmatan kemanusiaan ke Gaza. Foto AFP
PBB terus menggesa akses tanpa halangan terhadap barangan dan perkhidmatan kemanusiaan ke Gaza. Foto AFP
A
A
A

HAMILTON, KANADA - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin berkata, penafian akses oleh Israel terhadap petugas kemanusiaan di Semenanjung Gaza kekal menjadi isu serius, dengan purata hampir tujuh orang sehari dihalang daripada menyertai misi sepanjang tujuh minggu lalu.

Memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata dalam sidang media bahawa "keadaan masih kritikal dan keperluan jauh melebihi kemampuan komuniti kemanusiaan untuk bertindak balas berikutan halangan berterusan yang terus kami hadapi.”

"Halangan ini termasuk isu keselamatan, cabaran pelepasan kastam, kelewatan dan penafian terhadap kargo dan lintasan, serta laluan terhad untuk membawa bekalan kemanusiaan di Gaza,” katanya.

Dujarric menambah bahawa "sekatan sebegini amat mencabar usaha PBB dan rakan-rakannya untuk membawa masuk bekalan perlindungan, air, sanitasi, kebersihan serta bahan pendidikan yang mencukupi.”

Sambil menyatakan bahawa OCHA memberi amaran bahawa sekatan pergerakan dan akses dalam Gaza kekal satu isu serius, Dujarric berkata, antara 13 Oktober dan 4 Disember, 295 kontraktor, 28 kakitangan PBB dan 21 petugas kesihatan telah dinafikan penyertaan dalam misi PBB di Gaza oleh pihak berkuasa Israel.

"Itu purata hampir tujuh orang sehari,” katanya.

Dujarric menegaskan bahawa penafian ini "mengganggu perancangan kemanusiaan dan memaksa kami serta rakan-rakan membuat pelarasan saat akhir yang boleh mengurangkan keupayaan mengetuai atau menyebabkan misi dibatalkan sama sekali jika pengganti tidak dapat dikenal pasti.”

Beliau menambah bahawa PBB terus "menggesa akses tanpa halangan terhadap barangan dan perkhidmatan kemanusiaan serta supaya semua halangan ditarik balik agar kami dan rakan-rakan dapat mempertingkat bantuan dan mencapai setiap individu yang memerlukan pertolongan.”

Satu perjanjian gencatan senjata antara Hamas dan Israel berkuat kuasa di Gaza pada 10 Oktober di bawah rancangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sekali gus menghentikan sebahagian serangan Israel selama dua tahun yang telah meragut lebih 70,000 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan memusnahkan wilayah itu. - Bernama-Anadolu

Artikel Berkaitan:

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • PBB melaporkan Israel menafikan akses kepada petugas kemanusiaan di Gaza, rata-rata hampir tujuh orang sehari dihalang menyertai misi selama tujuh minggu
  • Kritikal dan keperluan melebihi kemampuan bertindak balas akibat halangan yang berterusan termasuk isu keselamatan dan cabaran pelepasan kastam
  • Halangan mengganggu usaha PBB dan rakan-rakannya membawa masuk bekalan perlindungan, air, sanitasi, kebersihan, dan pendidikan
  • Antara 13 Oktober dan 4 Disember, 295 kontraktor, 28 kakitangan PBB, dan 21 petugas kesihatan dinafikan penyertaan dalam misi di Gaza oleh pihak berkuasa Israel
  • PBB mendesak akses tanpa halangan untuk barangan dan perkhidmatan kemanusiaan serta penarikan semua halangan agar bantuan dapat ditingkatkan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!