China janji sumbang AS$100 juta bantu Palestin tangani krisis kemanusiaan di Gaza

China teguh menyokong perjuangan rakyat Palestin dalam memulihkan hak negara mereka yang sah. Gambar hiasan
China teguh menyokong perjuangan rakyat Palestin dalam memulihkan hak negara mereka yang sah. Gambar hiasan
A
A
A

ISTANBUL - Presiden China, Xi Jinping telah menjanjikan sumbangan bantuan berjumlah AS$100 juta kepada Palestin bagi membantu menangani krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Jinping membuat pengumuman itu ketika mengadakan perbincangan dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, yang menamatkan lawatan negara tiga hari beliau ke China pada Jumaat.

"China akan menyediakan AS$100 juta bantuan kepada Palestin bagi meredakan krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza serta menyokong pemulihan dan pembinaannya semula,” kata Jinping pada mesyuarat di Beijing pada Khamis, menurut kenyataan Kementerian Luar China.

Menurut Jinping, dunia hari ini "jauh daripada aman” dengan pertikaian dan konflik politik antarabangsa yang rumit terus berlaku di pelbagai rantau.

"China dan Perancis akan bekerjasama bagi merealisasikan penyelesaian menyeluruh, adil dan berkekalan terhadap isu Palestin secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian berkata, pada Jumaat bahawa bantuan tersebut akan digunakan untuk kerja pembinaan semula pascakonflik bagi memperbaiki keadaan kemanusiaan di Semenanjung Gaza dan mengurangkan penderitaan rakyat Palestin.

"China teguh menyokong perjuangan rakyat Palestin dalam memulihkan hak negara mereka yang sah dan akan terus bekerjasama dengan komuniti antarabangsa bagi mencapai gencatan senjata penuh dan berkekalan di Semenanjung Gaza, meredakan situasi kemanusiaan, serta memastikan penyelesaian politik awal berdasarkan penyelesaian dua negara,” kata Lin Jian pada sidang akhbar di Beijing. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Presiden China, Xi Jinping telah berjanji sumbangan AS$100 juta kepada Palestin untuk membantu krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza
  • Pengumuman itu dibuat semasa perbincangan dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron
  • Bantuan tersebut bertujuan untuk meredakan krisis kemanusiaan dan menyokong pemulihan serta pembinaan semula di Semenanjung Gaza
  • China dan Perancis bersetuju untuk bekerjasama meraih penyelesaian komprehensif dan berkekalan untuk isu Palestin
  • China teguh menyokong perjuangan rakyat Palestin dan akan bekerjasama dengan komuniti antarabangsa untuk mencapai gencatan senjata di Semenanjung Gaza

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!