Ops Gerak: JAS fokus kenderaan diesel, motosikal bising di Kelantan

Wan Aminordin (kiri) turun padang pada Minggu Ops Gerak Kebangsaan sempena Hari Ozon Sedunia 2025 di Kota Bharu.
Wan Aminordin (kiri) turun padang pada Minggu Ops Gerak Kebangsaan sempena Hari Ozon Sedunia 2025 di Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan memberikan tumpuan utama kepada isu pelepasan asap kenderaan dan bunyi bising motosikal di negeri ini sepanjang Minggu Ops Gerak Kebangsaan sempena Hari Ozon Sedunia 2025.

Pengarah JAS Kelantan, Wan Aminordin Wan Kamaruddin berkata, operasi yang dijalankan itu melibatkan kekuatan 50 anggota merangkumi JAS, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, fokus utama operasi kali ini adalah pemeriksaan pelepasan asap kenderaan khususnya diesel serta tindakan terhadap motosikal yang menghasilkan bunyi melebihi had ditetapkan.

“Selain operasi jalan raya, kita turut melaksanakan pemeriksaan terhadap pusat servis penyaman udara kenderaan yang berkaitan pelepasan gas. Setakat ini, tiada pelanggaran dikesan dalam aspek pengurusannya,” katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.

Wan Aminordin memberitahu, pihaknya turut menjalankan persampelan di beberapa stesen minyak bagi menguji kandungan petrol dan diesel.

Ujarnya, selain itu pemeriksaan turut dilakukan terhadap premis pengendali kenderaan yang mempunyai lebih 10 unit seperti bas, lori dan pacuan empat roda.

“Pemeriksaan ini penting untuk memastikan mereka memiliki peralatan lengkap untuk menguji asap kenderaan diesel, sekali gus meningkatkan tahap pematuhan peraturan pelepasan asap di negeri ini,” katanya.

Menurut beliau, setakat ini tahap pematuhan bagi premis servis aircond berada pada tahap memuaskan, manakala pemeriksaan terhadap kilang turut berjalan seperti biasa.

Katanya, tumpuan kini lebih diberi kepada kenderaan diesel yang dikenal pasti menyumbang kepada pencemaran udara jika tidak disenggara dengan baik.

Artikel Berkaitan:

“JAS bersama agensi lain komited memastikan kualiti udara di Kelantan terpelihara. Usaha ini akan diteruskan dari masa ke masa,” katanya.

Ringkasan AI

  • Jabatan Alam Sekitar Kelantan memberi tumpuan kepada isu pelepasan asap kenderaan dan bunyi bising motosikal
  • Operasi melibatkan kekuatan 50 anggota termasuk JAS, JPJ, AADK dan PDRM
  • Fokus utama adalah pemeriksaan pelepasan asap kenderaan diesel dan tindakan terhadap motosikal bising
  • Pemeriksaan juga dilakukan terhadap pusat servis penyaman udara dan premis pengendali kenderaan besar
  • JAS dan agensi lain komited memastikan kualiti udara di Kelantan terpelihara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!