Penganggur didakwa bunuh warga emas guna cangkul

Chee Ming (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seri Manjung pada Selasa atas tuduhan membunuh seorang warga emas bulan lalu.
Chee Ming (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seri Manjung pada Selasa atas tuduhan membunuh seorang warga emas bulan lalu.
A
A
A

MANJUNG – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seri Manjung pada Selasa atas tuduhan membunuh seorang warga emas yang mayatnya ditemui dalam keadaan berlumuran darah di sebuah rumah di Sitiawan, bulan lalu.

Tertuduh, Lin Chee Ming, 49, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, bapa seorang anak itu didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang lelaki, Ling Chin Kian, 78.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Baru, Kampung Koh, Sitiawan, dalam daerah Manjung antara jam 3.40 hingga 4.44 pagi pada 26 November 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, atau jika tidak dihukum mati, penjara maksimum 40 tahun dan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nuranisah Ismah Muhammad Husaini, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 10 Februari 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat, kimia, patologi dan forensik.

Tertuduh sebelum ini telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan selepas dipercayai memecah masuk rumah dan menyebabkan kematian mangsa menggunakan cangkul.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman dalam laporan berkata, mangsa ditemui ahli keluarganya dengan kesan kecederaan di kepala dan muka di ruang tamu rumah sebelum laporan dibuat kepada polis.

Pemeriksaan polis di lokasi kejadian turut menemui sebatang cangkul yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam insiden tersebut.

Ringkasan AI

  • Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seri Manjung atas tuduhan membunuh seorang warga emas di Sitiawan
  • Tertuduh, Lin Chee Ming, 49 tahun, didakwa tanpa pengakuan direkodkan
  • Dituduh membunuh Ling Chin Kian, 78 tahun, di Kampung Baru, Kampung Koh, Sitiawan
  • Kesalahan memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara maksimum 40 tahun dan tidak kurang dari 12 sebatan
  • Mahkamah menetapkan 10 Februari 2026 untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan lain-lain

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!